Mula bersiaran genap setahun lalu pada 19 Julai 2017 dengan nama FBI Live yang diasaskan oleh Faizal, bekas penyampai stesen radio swasta itu menggunakan peluang tersebut untuk bergabung semula dengan rakan baiknya, Fara untuk penjenamaan baharu Dbilique.

“Bukan itu sahaja, kami turut mengundang bekas rakan sekerja kami iaitu Kartini Kamalul Ariffin atau Tini untuk sama-sama memperkasakan platform ini.

“Tini bertanggungjawab menguruskan hal-hal pentadbiran dan pengurusan serta berperanan selaku content creator atau pereka kandungan. Senang cerita, dialah orang kuat di sebalik kewujudan Dbilique.

“Ingin kami tegaskan bahawa Dbilique bukanlah stesen radio dan juga bukan stesen televisyen.

“Pada masa yang sama, kami tidak menganggap stesen-stesen radio dan televisyen sebagai pesaing, malah mengalu-alukan kehadiran personaliti radio dan televisyen selaku tetamu undangan,” ujar Faizal sambil dipersetujui Fara yang duduk di sisinya.

Sementara itu, Fara menjelaskan, terdapat beberapa segmen diperkenalkan bagi menarik minat semua golongan seperti Fafau & FBI Dbilique, Masaklah Aku, Rakan Biz, Artis Masuk Bilik, Dbilique Ada Kak Leha, Abe Jambu Memutik Dbilique dan Curlasss Ustaz Aiz.

Selain menampilkan Faizal dan Fara selaku hos utama, Dbilique turut menampilkan tiga muka baharu iaitu Faiz Dickie, Faiz Haiqal dan Aizuddin Kamarul Zaman.

Bahkan, nama Dbilique itu dipilih memandangkan konsep mereka yang bersiaran dari dalam bilik sambil memakai pakaian gaya santai iaitu lelaki dengan berkain pelikat, manakala wanita pula berbaju kelawar. - UTUSAN ONLINE