Tidak mahu dilabel band budak-budak, sebaliknya kumpulan ini cuba mengetengahkan imej remaja matang agar mereka boleh diterima oleh setiap golongan usia.

Berasal dari Kelantan dan dianggotai seramai tujuh orang ahli berumur antara 16 hingga 27 tahun, Ezzrin selaku vokalis berkata, kemunculan mereka bukanlah untuk bersaing dengan band sedia ada, tetapi sekadar memenuhi minat masing-masing yang sukakan muzik.

“Kami menyertai kelas muzik yang sama di Sekolah Menengah Dato’ Mahmud Paduka Raja 1, Tanah Merah di bawah bimbingan guru muzik Mohd. Zaki.

“Sebab itulah timbul idea untuk menubuhkan kumpulan ini. Setiap orang berkebolehan bermain alat muzik dan kami memulakan persembahan secara kecil-kecilan di peringkat sekolah sebelum menerima undangan daripada pihak luar.

“Bakat kami dihidu oleh komposer terkenal, Eddie Hamid ketika menyertai satu pertandingan dan dia menawarkan peluang terbabit secara serius di pentas arus perdana,” ujarnya kepada UTUSAN ONLINE.

Sedar dengan persaingan daripada beberapa kumpulan generasi baharu yang terlebih awal mencipta nama seperti Projector Band, Dadilia Band dan Floor88, Ezzrin dan rakan sekelasnya optimis mereka mampu menarik minat pendengar terhadap muzik yang dipertaruhkan.

Percaya dengan rezeki, setiap orang mempunyai cita rasa berbeza dan Ezzrin & The Classmates tidak kisah jika terpaksa bergelut untuk membina nama.

Selepas tampil dengan single pertama, Cinta Sia-Sia pada Ogos 2016, terkini mereka mempertaruhkan lagu kedua yang berjudul Segenggam Rindu dan kedua-duanya adalah sentuhan Eddie Hamid.

Selain Ezzrin, 18, ahli lain ialah Ezzat, 27, (gitar); Zainul, 18, (gitar); Aiman, 18, (gitar utama); Hazrin, 18, (gitar bass); Naim, 18, (keyboard) dan Faris, 16, (dram). - UTUSAN ONLINE