Tiada istilah bermasam muka atau berebut nak pulang ke kampung siapa terlebih dahulu, Ezzaty, 29, dengan rela dan ikhlas bersama-sama suami menyambut Aidilfitri di kampung mentua pada setiap Syawal.

“Kalau orang lain balik beraya dengan melalui jalan darat, kami berdua dan anak pula kena naik

 

pesawat menyeberangi Laut China Selatan.

“Meskipun setiap tahun kena balik Sabah untuk sambut Syawal, saya okay sahaja dan tidak mengeluh kerana sesekali rasa beraya di negeri lain sebenarnya amat menyeronokkan.

“Lebih-lebih lagi juadah tradisional di Sabah ada yang sukar ditemui di Semenanjung. Saya pula seorang yang suka merasa makanan yang jarang dicuba,” katanya.

Menurut ibu kepada Harum Dalia, 2, ini lagi, banyak perbezaan yang dilalui ketika menyambut Aidilfitri bersama keluarga mentua berbanding keluarga sendiri.

“Kalau tahun lepas saya kena masak sebab keluarga mentua teringin nak menjamah makanan Semenanjung, tetapi tahun ini saya dapat rasa menu masyarakat Kota Belud.

“Antaranya ambuyat. Selama ini selalu dengar tentang juadah itu tapi tak pernah lagi makan, Bila kakak ipar pakar membuat juadah ini, memang saya agak teruja jugalah,” ulasnya yang biasanya akan bercuti selama dua minggu di Sabah.

Hulur duit raya

SEMENTARA itu, Ezzaty juga tidak lokek mengeluarkan bajet duit raya sendiri demi melihat anak saudara serta sepupunya yang masih kecil tersenyum gembira.

 

“Masa inilah nak tengok budak-budak rasa seronok dapat duit raya. Begitu juga perasaan saya waktu kecil dulu dapat duit dari orang dewasa.

“Saya akan bagi duit raya sama rata, tak ada hadkan jumlah wang. Kita pun bahagia bila tengok anak saudara dan yang lain gembira bila sambut sampul duit raya,” ulasnya yang menyediakan bajet kira-kira RM3,000 untuk duit raya.

Justeru, demi memenuhi kehendak tersebut, Ezzaty dan Azwan bekerja keras mengumpul duit raya dengan membuka empat reruai termasuk di Singapura.

Kata Ezzaty, sepanjang bulan Ramadan lalu, dia memperlahankan jadual seni demi memberi laluan untuk mendapat pendapatan dengan cara berniaga.

“Sejujurnya, kami buka jualan masa bulan puasa yang lalu pun untuk kumpul duit raya nak bagi pada anak saudara.

“Jika nak harapkan duit lakonan, banyak lagi komitmen lain yang kami kena dahulukan. Jadi saya dan Azwan sepakat buka reruai demi gembirakan hati anak-anak buah,” katanya.