Sedia untuk kembali bergelar seorang isteri jika benar ada lelaki di luar sana yang memenuhi ciri pilihan hati, kata Ezlynn, sehingga saat ini dia sentiasa berdoa.

“Calon ramai (ketawa) tetapi kalau boleh saya mahu cari yang sembahyang lima waktu dan seseorang yang boleh membimbing saya.

“Soal karier pula jika benar suami saya kelak tidak izinkan untuk teruskan kerjaya sebagai penyanyi, saya tidak ada masalah untuk berhenti,” katanya jujur.

Masih selesa menjalani kehidupan sebagai wanita solo, kata Ezlynn, tidak sukar untuk dia mentafsir perasaan dalam hatinya.

Mengakui berada dalam fasa bahagia, ternyata dalam tempoh ini juga dia lebih memahami kemampuan sendiri.

“Saya sangat bahagia kini, dalam tempoh ini banyak perkara baharu yang saya belajar selain menyedari rupanya saya mampu lakukan beberapa hal tanpa bantuan.

“Rasanya tidak ada masalah dengan kehidupan solo, saya selesa sahaja,” katanya.

Goyang

Muncul dengan lagu baharu selepas lapan tahun, kongsi Ezlynn, dia tidak mahu dibebankan dengan kata-kata negatif.

Jelasnya, apa yang penting pada usia 37 tahun dia melakukan apa sahaja yang akan membuatkan dirinya gembira. Malah, melihat kemunculan ramai penyanyi baharu juga bukan suatu masalah untuknya meneruskan karier sebagai penyanyi.

“Selepas lapan tahun saya muncul kembali dengan Goyang, Apa yang saya suka mengenai lagu ciptaan Farique Nadzir dan Adah Kahir ini adalah kerana ia tidak terlalu berat selain berentak rancak.

“Pendengar juga lebih terarah kepada muzik begini sekarang.

“Soal takut persaingan tidak pernah wujud. Bagi saya kita perlu ambil kekuatan setiap penyanyi lain. Dalam keadaan ini saya hanya melakukan apa yang saya suka dan tidak meletakkan tekanan untuk perkara begitu,” katanya.

Menolak pernah menyuarakan pendapat bakal meninggalkan dunia seni, kata Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, nyanyian sentiasa menjadi minat nombor satunya.

“Apa yang tidak keluar hanya lagu baharu, tetapi sepanjang tempoh ini saya aktif seperti biasa. Selain menerima undangan nyanyian saya juga sibuk berlakon.

“Buat masa sekarang bila sudah ada lagu baharu saya akan beri keutamaan kepada nyanyian sahaja. Pihak pengurusan saya juga sudah sedia maklum 2019 adalah untuk bidang nyanyian,” katanya.