Pengalaman yang dikutip sewaktu bergelar salah seorang vokalis Salam Musik selama lebih lima tahun membolehkan Eyza menimba banyak pelajaran untuk menghasilkan karya yang bagus buat pendengar.

Mahu dikenali sebagai penyanyi solo, Eyza seboleh-bolehnya tidak mahu terus dibayangi

 

kumpulan Salam Musik kerana mahu keluar daripada zon selesa.

“Selama 10 tahun saya bergelumang dengan dunia muzik, saya rasa lebih matang dan semakin banyak idea baharu dicurahkan kepada sebuah lagu yang indah.

“Ya, saya gembira dan bangga dengan diri sendiri. Memang saya akui bergerak solo pasti ada cabaran yang perlu diharungi untuk kekalkan bakat.

“ Tetapi sebagai anak seni yang begitu menjiwai bidang ini, saya ambilnya sebagai satu perkara positif dan sebagai pemangkin semangat untuk terus berdaya saing dengan penyanyi lain,” ujarnya yang pernah mengeluarkan album solo berjudul Suara.

Berbicara tentang single terbaharu berjudul Ada Chan, Eyza tampil berduet dengan Amysar atau dikenali sebagai ADK, yang dikenali ketika bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama dahulu.

“Saya dan ADK memang sudah kenal lama sebab dulu kami duduk di bawah satu bumbung yang sama sehinggalah kami buat keputusan untuk bawa haluan masing-masing.

“Single Ada Chan mengambil masa setahun untuk dihasilkan. Alhamdulillah, saya selesa kerja dengan ADK.

“Lagi pula ADK bukanlah baru dalam penghasilan lagu, sebelum ini dia sudah banyak menghasilkan lagu buat penyanyi lain.

“Kali ini saya tidak mahu mengehadkan interpretasi pendengar untuk membayangkan lagu ini tentang apa. Terpulang kepada setiap individu untuk memahami saat mendengar lirik Ada Chan,” kongsinya.

Besar harapannya apabila percubaan mengeluarkan single Ada Chan dapat diterima ramai pengikut muzik tempatan tanpa mengira peringkat usia.

“Saya berehat setahun daripada menyanyi dan buat lagu sebab sebelum ini sudah terlalu sibuk dengan urusan kerja sampai tak ada masa untuk diri sendiri.

“Tahun 2019 saya rasa masa yang paling sesuai untuk kembali aktif. Alhamdulillah, maklum balas yang diterima amat positif untuk lagu Ada Chan.

“Lagu ini berentak reffageton dan lebih santai. Itu tujuan utama saya buat lagu dengan ADK kerana tidak mahu ‘beratkan’ telinga pendengar,” tuturnya.

Sementara itu, ADK yang sememangnya menanti peluang besar untuk bergandingan dengan Eyza berharap akan ada lagi kerjasama antara mereka pada masa akan datang.

“Insya-Allah, saya tidak memilih untuk bekerja dengan sesiapapun. Sepanjang kami buat lagu bersama, amat mudah dan Eyza juga banyak memberi idea.

“Dengan pengalaman yang dia ada selama 10 tahun dalam bidang muzik, secara tak langsung saya dapat memperluaskan ilmu bila bekerjasama dengan dia.

“Lagu Ada Chan sudah berada di pasaran sejak dilancarkan pada Mac lalu. Diharapkan ramai menyukai karya kami dan sentiasa menyokong industri seni tanah air,” katanya.