Biarpun sedar perjalanan bergerak solo yang harus ditempuh bukanlah sesuatu yang mudah namun gadis berusia 28 tahun ini tidak mahu mengalah dengan hanya kata-kata negatif orang.

Dia mahu terus melangkah memperjuang muziknya supaya dapat didengari peminat khususnya yang merindukan genre nusantara. Apatah lagi, suara Eyza sememangnya cukup unik.

Kini namanya kian meniti pada bibir peminat selepas lagu Cakerawala mendapat perhatian umum. Muzik yang berbeza dan mempunyai unsur reggae itu ternyata berjaya mencuri hati peminat.

“Selepas tujuh tahun mengemudi bahtera muzik dengan Salam Musik, saya rasa ini masa sesuai untuk keluar dari zon selesa itu. Saya mula bergerak solo sejak dua tahun lalu.

“Sejujurnya dua tahun selepas bergerak solo saya rasa lebih selesa. Memang tidak dinafikan, sukar untuk mencipta nama namun saya tahu rezeki Tuhan yang tentukan,” katanya.

Bagi Eyza, dia sebenarnya tidak kisah untuk dikaitkan dengan Salam Musik. Biarpun kini tidak selari nama dengan kumpulan itu namun dia masih bersahabat baik dengan ahli-ahlinya.

Malah pendekatan muzik Eyza yang mempunyai elemen reggae juga dikaitkan dengan kumpulan yang sememangnya memperjuang genre muzik tersebut. Namun bagi Eyza dia lebih senang membawakan genre nusantara.

“Saya mahu mencuba sesuatu yang baharu. Lagipun saya rasa tidak salah untuk bergerak solo. Kadang-kadang persembahan saya, Salam Musik ada datang menjadi pemuzik latar.

“Lagipun saya membina karier dengan mereka. Salam Muzik adalah satu kumpulan. Sesiapa pun yang menyertainya atau keluar kekal sebagai Salam Musik.

“Tak adil untuk cakap saya menyanyi reggae sebab sebenarnya genre itu terlalu besar. Mungkin ada sedikit elemen genre itu dalam lagu-lagu tetapi saya lebih kepada global atau nusantara,” katanya.

Suara percubaan berani

Tampil dengan album penuh Suara, Eyza yakin dengan pertaruhannya kali ini. Membariskan lapan buah lagu termasuk Cakerawala, anak kelahiran Sabah ini tidak mahu berlengah dalam mencuba sesuatu yang baharu.

Album yang sepenuhnya diterbitkan oleh DJ Fuzz ini turut menampilkan lirik ciptaannya sendiri menerusi lagu Cakerawala, Langkah dan Jumpa Lagi.

Malah Eyza turut menyanyikan lagu, Kau Yang Ku Nanti yang merupakan dendangan asal Datuk Yusni Hamid dengan cara tersendiri dan cukup unik.

Malah itu antara keistimewaan album Suara ini.

“Saya rasa cukup berbangga apabila dapat menyanyikan semula lagu Kau Yang Ku Nanti ini. Cuma saya bawa dengan cara tersendiri dan tidak terikut dengan lagu asal dendangan penyanyi diraja, Yusni Hamid.

“Saya yakin dengan album ini sebab lagu-lagu yang terkandung sungguh berbeza dengan yang disajikan kepada halwa telinga peminat kini.

“Harapnya peminat suka dengan buah tangan pertama saya ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE