Menyifatkan wanita itu seorang yang gemar mencari perhatian, kata Ewal, dia bagaimanapun berjaya mengelak daripada terus diperdayakan dan dipergunakan.

“Malahan, bukan saya dan Shahir sahaja, terdapat beberapa bintang program realiti lain yang cuba dihampiri oleh Mona. Modus operandinya boleh dikatakan sama iaitu dengan mengakui dirinya sebagai peminat tegar.

“Dia memulakan langkah dengan meninggalkan komen di laman sosial sebelum berani menghantar ‘direct message’ (DM) untuk menghampiri mangsanya,” katanya.

Terdahulu, Shahir dihimpit kontroversi apabila Mona membuat pendedahan di laman sosial bahawa hubungannya dengan penyanyi itu lebih daripada sekadar peminat dan seorang artis.

Menurut Ewal, wanita itu juga akan bermain dengan kata-kata manis bagi memerangkap artis realiti kegemarannya.

“Mula-mula dulu ingat hanya saya seorang, rupa-rupanya ada beberapa rakan artis daripada program AF yang turut melalui pengalaman serupa,” tambahnya tanpa mahu mendedahkan nama sesiapa.

Ewal berharap agar Shahir diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangannya di pentas akhir AF Megastar yang akan berlangsung hujung minggu ini dan menganggap isu tersebut sebagai satu dugaan. - UTUSAN ONLINE