Menurutnya, hubungan mereka semakin renggang kerana tidak mendapat restu keluarga, ditambah pula pertelingkahan di laman sosial mengeruhkan lagi keadaan.

“Keluarga kedua-dua belah pihak seolah-olah tidak memberi restu terhadap hubungan kami. Jadi, saya reda dan pasrah sahaja terhadap apa yang berlaku.

“Sebelum Ramadan hari tu, kami sudah lagi tidak saling berhubung,” akui Erry atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Hamzah @ Ahmad kepada Utusan Online.

Dalam pada itu, menjelaskan tanggapan negatif netizen berhubung beberapa keping gambar bersama seorang jejaka yang dimuat naik di laman sosialnya, Erry memberitahu pemuda itu adalah adik tirinya, Syafiq Putra, 24.

Katanya, Syafiq juga merupakan rakan duet menerusi single Aku Tahu ciptaan Jonathan yang baru saja dilancarkan.

Erry memberitahu, tujuannya memuat naik gambar berdua adalah untuk mempromosikan Syafiq yang mencari tapak untuk diketengahkan dalam industri hiburan tempatan.

“Dulu dia seorang yang sangat pemalu dan tiada keyakinan diri. Selepas kami sering bergambar bersama-sama dan dikongsikan di media sosial, Syafiq bertambah yakin,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sebelum ini Syafiq pernah berlakon dalam sebuah telefilem tetapi dia kurang berminat dan enggan meneruskan kerjaya lakonan.

“Kemudian, saya cuba perkenalkan dia dalam bidang nyanyian menerusi lagu duet kami. Dari situ, saya perasan minatnya lebih ke arah bidang nyanyian dan tidak lama lagi kami akan hasilkan single duet kedua, Tapi Aku Suka Tapi Aku Cinta,” katanya.- UTUSAN ONLINE