Bahkan, artis wanita jelita itu juga sedia maklum, terdapat rakan-rakannya termasuk wartawan hiburan yang lebih selesa dan senang seandainya dia berteman dengan individu-individu yang disifatkan lebih padan dengan kedudukan dan personalitinya.

Bagaimanapun, dalam konteks ini, Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 44, berkata, sebagai seorang manusia biasa, dia hanya mampu berdoa pada Allah agar ditemukan dirinya dengan lelaki yang boleh menjadi pendampingnya sehingga ke akhir hayat.

Lantaran itu, ibu tunggal pada Engku Aleesya, 8 itu berkata, apa kudratnya yang dia ada untuk menentukan lelaki yang bakal dikahwininya menepati kehendak dirinya dan orang-orang di sekeliling.

“Terima kasih di atas keprihatinan dan keikhlasan rakan-rakan media serta rakan-rakan saya yang banyak memberi pandangan nasihat kepada saya agar bijak membuat keputusan kali ini mengenai jodoh.

“Saya sentiasa ambil perhatian dan sentiasa meminta petunjuk daripada Allah,” katanya dalam dalam sidang akhbar di pejabat syarikat pengurusan kerjaya seninya, Mind Order Management di sini sebentar tadi.

Dalam masa sama, Erra berkata, keikhlasan rakan-rakan wartawan dan sahabat-sahabat karib yang enggan melihat dia gagal dalam kehidupan berumah tangga sesuatu yang amat bermakna buatnya.

Seperti wanita lain, Erra berkata, dia sememangnya mendambakan kebahagiaan dalam sebuah perkahwinan bersama lelaki yang dikasihinya.

“Seperti mana semua ibu dan ayah yang mahukan yang baik-baik untuk anak mereka, demikian juga dengan saya. Tetapi siapakah kita untuk menentukan jodoh? Saya sedar ramai orang bercakap saya layak kahwin dengan sekian... sekian orang. Tapi inilah cabarannya (bagi dirinya),” ujarnya lagi.

Erra berkata demikian sebagai mengulas perasaan kurang senang rakan-rakan rapatnya mengenai hubungannya dengan Shahir, 29.


Hubungan kedua-duanya dilihat seperti tidak bernoktah, lebih-lebih lagi Shahir yang pernah dihimpit dengan pelbagai kontroversi peribadi.

Menjelaskan hubungan mereka kini, Erra yang cukup terkenal dengan lagu Yang Indah Hanya Sementara berkata, dia dan Shahir masih berkawan baik.

“Saya masih orang yang sama dan saya mengakui masih berkawan baik dengan Shahir. Soal jodoh, bukan di tangan saya. Bahkan, antara kami ada batas tersendiri.

“Saya tidak bercakap bohong, bukan di depan anda (wartawan) saya cakap lain dan belakang saya buat benda lain. Tidak. Saya kenang jasa rakan-rakan wartawan. Kalau ada berita baik saya akan kongsi dengan anda, jangan risau. Kalau anda dengar lain-lain bukan dari mulut saya anggaplah ia sekadar khabar di angin lalu,” jelas primadona filem Melayu ini lagi.

Erra merupakan artis wanita yang sering menjadi bahan berita di media-media utama khususnya selepas perceraiannya dengan personaliti media, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang dikurniakan seorang permata hati, Engku Aleesya.

Erra dan Engku Emran berkahwin pada 2007 sebelum bercerai tujuh tahun kemudian.

Artis masyhur itu juga pernah bernikah dengan anggota kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 2003 sebelum kedua-dua berpisah cara baik pada 2006. - UTUSAN ONLINE