Menurut Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, perpindahannya ke syarikat naungan Astro itu berkuat kuasa pada penghujung Julai lalu adalah demi kelangsungan kariernya di persada seni tanah air.

“Perpindahan ini tiada kena mengena dengan kontroversi yang melanda Haqiem Rusli baru-baru ini.

“Kontrak saya dengan FMC Music telah tamat pada Ogos tahun lalu. Ketika itu saya baru sahaja menjuarai program Duo Star yang diterbitkan Astro.

“Jadi, saya mengambil sedikit masa untuk mempertimbangkan tawaran yang telah diunjurkan pada waktu itu,” katanya menjawab spekulasi yang mula diperkatakan sejak dibabitkan dengan isu dalaman bersama FMC Music, syarikat tempat Haqiem bernaung.

Mengulas tentang pelantikannya sebagai guru vokal kepada para peserta Big Stage 2018 (BS 2018), Ernie bersyukur melihat perkembangan kerjaya seninya yang semakin agresif.

“Ini adalah peluang keemasan yang mungkin sukar untuk dilepaskan atau diperoleh pada masa akan datang.

“Jadi, saya akan galas tanggungjawab ini bagi memastikan amanah yang telah diberikan dilaksanakan sebaik mungkin.

“Saya harap, penonton berpuas hati dengan hasil kerja pada minggu pertama BS 2018 dianjurkan Ahad lalu,” katanya. - UTUSAN ONLINE