Terbit rasa tanggungjawab, Erma Fatima selaku pengarah teater muzikal Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta, percaya ini antara usaha kecilnya untuk berkongsi ilmu dari sudut, mulianya keperibadian Nabi Muhammad SAW kepada penonton teater ini.

Menggunakan khidmat 20 orang pelakon utama, 80 orang pelakon tambahan, 15 orang pemain muzik yang mengalunkan setiap irama secara langsung pastinya teater ini tidak menyasarkan hiburan semata-mata. Melihat sendiri nama-nama besar seperti Awie, Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search dan Tegar mendendangkan lagu-lagu yang cukup kena dengan kisah yang dipentaskan, tidak dapat disembunyikan lagi tangisan rindu terhadap baginda.

Merupakan tahun ketiga dipentaskan, tidak dinafikan jalan ceritanya masih lagi sama. Menekankan sejarah hidup nabi yang kita sayangi, setiap peristiwa juga cuba diolah dengan baik oleh Erma dalam mendapatkan nilai sebenar kisah ini dengan tepat. Cuma kematangan penggunaan peralatan di pentas Istana Budaya, ternyata memberi sebab pementasan ini berjaya membawa kita kembali membayangkan keadaan manusia yang ketika itu sesat tanpa agama Allah.

Secara dasarnya mungkin setiap umat Islam sendiri sudah tahu perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW yang sudah menjadi asas didikan kita sejak dari kecil. Bagaimanapun menghuraikannya di pentas teater, mungkin pujian terbaik ini harus diberikan kepada Erma. Usaha ini bukan kecil kalau ada yang mengetahui bagaimana mahu menjayakan Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta ini tanpa wujud masalah kemudian.

Jelas Erma, demi memastikan kisah yang diarahkannya ini mendapat kelulusan penuh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dia mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.

“Saya beri skrip ini kepada Jakim dahulu, dan mereka kemukakan syarat untuk saya. Syukur tiada masalah untuk memenuhi apa yang mereka minta.

“Antara syarat yang mesti saya penuhi adalah memastikan musuh Islam ketika itu tidak dilakonkan oleh mereka yang beragama Islam. Akhirnya apa yang boleh penonton lihat dalam pementasan ini bukan sahaja orang Melayu tetapi juga kita mencampurkan pelakon daripada berbilang kaum,” katanya.

Gagal mendapat penaja untuk pementasan kali ini, ada yang musykil di mana silapnya teater hebat ini. Tidak terasa hati sekali lagi teater ini gagal mendapat penajaan, balas Erma, apa yang diperjuangkannya ini lebih besar nikmatnya daripada meratapi teater ini gagal meyakinkan pihak penaja.

“Saya tidak tahu mahu rasa apa, sebabnya bagi saya kalau mahu buat tajaan biar secara ikhlas. Saya tidak kisah tiada tajaan kerana teater ini memang saya lakukan untuk ibadah.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana dapat sokongan penuh daripada pihak Istana Budaya dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia,” katanya tentang teater yang dipersembahkan sejak Sabtu lalu dan berakhir hari ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Sesuai dengan tema pementasan ini, Erma juga berkongsi berita gembira dengan memberitahu hasil kutipan pada hari terakhir pementasan akan diberikan sepenuhnya kepada mangsa banjir.

Katanya, dia dan beberapa artis yang terlibat dalam pementasan tersebut akan turun ke kawasan banjir bagi mengagihkan sendiri bantuan kepada mangsa banjir selepas tamat pementasan.

“Idea ini memang daripada saya, tetapi saya tanyakan juga kepada artis-artis serta kru yang terlibat. Memang mereka setuju dengan saya mahu mendermakan semua hasil kutipan pada hari terakhir kepada mangsa banjir,” katanya.