Hal ini dicerminkan dalam filem-filem AS. Ketika era filem bisu, sejumlah karya yang bergelar ‘race films’ telah dihasilkan, kesemuanya dibintangi pelakon kulit hitam dan disasarkan kepada komuniti kulit hitam tetapi melibatkan penerbit dan pengarah berkulit putih. Namun, Oscar Micheaux, seorang pengarah independent kulit hitam telah berjaya menghasilkan lebih 40 filem yang memfokuskan pengalaman kaum Afrika-Amerika (1919-1948). Trend ini membawa kepada kelahiran ‘sinema kulit hitam’ (black cinema) yang mewakili komuniti Afrika-Amerika dan membariskan para pelakon berketurunan Afrika-Amerika.

 

Tekanan antara pembikin filem independent berkulit hitam dan kebangkitan sistem studio Hollywood yang semakin berkuasa tercetus dengan kontroversi filem Birth of a Nation (D.W. Griffith, 1915). The National Association for the Advancement of Colored People (NAACP) telah memprotes di luar pawagam dan memboikot tayangan Birth of a Nation. Justeru John W. Noble menghasilkan The Birth of a Race (1918) dan Micheaux mengarahkan Within Our Gates (1920) sebagai respons kepada Birth of a Nation dengan menyanggah dan mencabar stereotaip dan usaha menggemilangkan Ku Klux Klan. Sinema kulit hitam terus berperanan dalam mencabar dan menyanggah industri perfileman arus perdana yang sarat representasi prejudis dan marginalisasi komuniti kulit hitam. Malah, dalam filem-filem Hollywood era 1930-an dan 40-an, pelakon-pelakon kulit hitam hanya diberi peranan pembantu sahaja.

Kemelut sosial selepas Perang Dunia II telah menyemarakkan gerakan hak awam lewat era 1950-an dan 1960-an. Para pelakon dan pembikin filem kulit hitam mula menyerlah. Sidney Poitier contohnya, menjadi pelakon Afrika-Amerika pertama memenangi Anugerah Akademi menerusi Lilies of the Field (1963). Ketika lewat 1960-an, kemarahan dan kekecewaan terhadap proses perubahan sosial yang perlahan telah mencetuskan kebangkitan gerakan Black Power, selain kes pembunuhan Martin Luther King. Hal ini membawa kepada kelahiran filem penting Sweet Sweetback’s Baadassss Song (Melvin Van Peebles, 1971) yang memanfaatkan isu kemarahan dan kekecewaan tadi. Kejayaan komersial filem ini memperlihatkan prospek khalayak kulit hitam bandaran, di samping mempelopori subgenre yang digelar blaxploitation. Sejumlah filem selepas itu seperti Shaft (1971) dan Super Fly (1972) turut menempa kejayaan komersial.

Kebanyakan filem blaxploitation dihasilkan (sekitar 1970-1975) di luar arus perdana dengan bajet rendah, dengan sasaran khalayak kulit hitam bandaran. Filem-filem blaxploitation diacuankan dalam pelbagai genre popular, filem gengster (Black Caesar, 1973); filem seni pertahanan diri (Black Belt Jones, 1974); filem seram (Blacula, 1972); dan, filem koboi (Boss Nigger, 1974). Bagaimanapun, filem-filem ini berkongsi banyak ciri, termasuk protagonis kulit hitam yang anti-establishment, latar set yang dihuni kaum kulit hitam bandaran, runut bunyi lagu-lagu rhythm-and-blues, kod-kod pakaian dan penggunaan bahasa yang khusus secara budayanya, penonjolan keganasan melampau dan sikap liberal terhadap seks. Filem-filem blaxploitation ini turut mengutarakan isu-isu berkaitan penindasan kaum, penggunaan dadah, keganasan polis, dan profil berdasarkan kaum.

Dalam filem-filem terbitan studio, elemen seks dan keganasan yang diglamorkan lebih dilihat menyerlah daripada komentar sosiopolitik dan ini telah menyebabkan protes daripada komuniti kulit hitam. Kejayaan beberapa filem biopik, termasuk The Great White Hope (Martin Ritt, 1970) dan Lady Sings the Blues (Sidney J. Furie, 1972), telah membuka mata Hollywood terhadap potensi genre ini merentas kelompok khalayak lebih luas. Genre blaxploitation ini menyaksikan pengakhiran hayatnya kerana menerima kritikan dan kecaman hebat daripada pelbagai pihak yang tidak menyenangi banyak aspek representasi dan pengalaman kaum Afrika-Amerika (yang ‘negatif’), termasuk kebobrokan moral, dieksploitasi di layar perak.

Pada era 1970-an juga, para pengarah kulit hitam seperti Charles Burnett, Larry Clark, Julie Dash dan Haile Gerima telah mencabar imej-imej stereotaip ras, gender, dan kelas dalam dokumentari dan filem eksperimental mereka. Pada era 1980-an pula, filem-filem Hollywood yang menampilkan bintang-bintang kulit hitam seperti Richard Pryor (Stir Crazy, 1980) dan Eddie Murphy (Beverly Hills Cop, 1984) – tampil cukup popular. Filem She’s Gotta Have It (Spike Lee, 1986) dan Hollywood Shuffle (Robert Townsend, 1986) telah menyuntik nafas baharu dan dirujuk sebagai ‘sinema kulit hitam baharu’ (new black cinema). Filem-filem ini melibatkan ramai penggiat industri dari arena televisyen (di mana ramai pengarah kulit hitam mendapat latihan awal mereka) dan inspirasi dari produksi-produksi independent era 1970-an. Spike Lee umpamanya muncul sebagai pengarah penting sinema kulit hitam dengan filem-filemnya yang cukup provokatif, Do the Right Thing (1989), Jungle Fever (1991), dan Malcolm X (1992), antara lainnya.

Era 1990-an menyaksikan kejayaan komersial subgenre filem-filem aksi-belia bertemakan ‘ghetto’ seperti Straight Out of Brooklyn (Matty Rich, 1991), New Jack City (Mario Van Peebles, 1991), Boyz n the Hood (John Singleton, 1991) dan Menace II Society (Allen Hughes/Albert Hughes, 1993). Filem-filem ini menggembleng bersama paparan realiti getir kehidupan ghetto pasca-industri dengan imaginasi dan budaya popular kaum kulit hitam. Manakala genre blaxploitation masih memperlihatkan pengaruhnya dalam sinema kontemporari menerusi homaj yang dilakukan Quentin Tarantino dalam Jackie Brown (1998) dan filem bikinan semula seperti Shaft (John Singleton, 2000). Sinema Hollywood dan independent AS terus menyaksikan kelangsungan filem-filem kulit hitam dengan pelbagai genre dan pendekatan. Dari filem ‘menuju dewasa’ Moonlight (2013) dan satira-seram Get Out (2017) hinggalah ke filem adiwira Black Panther (2018) dan biopik jenayah BlacKkKlansman (2018).

Sinema kulit hitam ini (termasuk blaxploitation) sebenarnya merupakan satu respons ideologi kepada detik kritikal sinema Hollywood bermula era 1960-an yang menyaksikan kemelut hubungan kaum di AS, dan sebagai satu ekspresi estetik, identiti dan pemberdayaan kulit hitam (black empowerment). Namun, pada segi lain, filem-filem blaxploitation umpamanya, mewajarkan eksploitasi terhadap komuniti Afrika-Amerika sebagai subjek sinematik, selain didakwa hanya mengesah dan melanjutkan prejudis dan stereotaip kaum serta masalah hubungan kaum di AS.