Menerima undangan untuk berpadu vokal dengan seorang artis rakaman dari Filipina, Syafeek Ikhwan melihat tawaran untuk merakamkan lagu duet dengan bintang baharu itu adalah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan.

“Tawaran tersebut datangnya daripada wakil pengurusan peserta Filipina yang turut mengambil bahagian dalam i-Sing World 2018 baru-baru ini.

“Setakat ini, hanya persetujuan lisan sahaja baru dicapai kerana saya perlukan masa untuk mempertimbang sebaik-baiknya peluang berkenaan.

“Ini kerana saya tidak mahu keghairahan yang menyelubungi diri ketika ini akhirnya menjadi pemusnah karier pada masa hadapan,” katanya.

Menurut Syafeek atau Muhammad Syafiq Ikhwan Ghazali, dia enggan pisang berbuah dua kali kerana sebelum ini ketika mula-mula bergelar penyanyi, keghairahannya menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman terdahulu telah merencatkan perjalanan seninya.

Katanya, dia mahu membuat pertimbangan sewajarnya dengan meneliti secara terperinci setiap tawaran yang datang.

“Saya tidak mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak malah berterima kasih kepada syarikat rakaman lama kerana memberi ruang dan peluang untuk mengetengahkan bakat yang dimiliki.

“Cuma kini, saya lebih selesa berdikari mengatur perjalanan karier saya supaya jika berlaku sebarang kesilapan, biarlah bawah tanggungan sendiri tanpa perlu menyalahkan sesiapa,” katanya menetapkan pendirian.

Bagaimanapun, Syafeek mengakui, dia memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada individu yang mahir dengan selok-belok industri hiburan tempatan.

“Sejujurnya, saya bukanlah seorang yang arif mengenai permainan industri seni ini. Saya cuma orang biasa yang mempunyai minat dalam bidang seni suara.

“Jadi jika ada tawaran daripada sebarang pihak untuk menguruskan kerjaya seni saya, tidak mustahil untuk memberikan kerjasama,” katanya berharap.

Pesona baharu kerjaya Syafeek

DITANYA mengenai perancangannya untuk meneroka lebih jauh lapangan seni suara, Syafeek tidak putus berdoa agar pintu rezeki karier nyanyiannya terbuka lebih luas.

Selain menerima peluang untuk melakar nama di luar negara, terlebih dahulu Syafeek mengharapkan dia dapat memperkukuh namanya di tanah air sendiri sebelum merantau jauh.

“Disebabkan itu, saya mahu bekerjasama dengan beberapa komposer berkredibiliti agar jenama Syafeek Ikhwan itu seiring dengan kualiti di samping mengecap populariti.

“Saya percaya, kualiti dan populariti saling berkait rapat dalam memastikan kelangsungan hayat seseorang personaliti hiburan tempatan.

“Memang ada yang berpendapat kualiti harus diutamakan, manakala populariti akan datang pada kemudian hari. Namun saya pula beranggapan kedua-dua perkara itu perlu dibina tanpa mengharapkan yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek,” katanya berfalsafah.

Merencanakan masa depan kariernya, Syafeek berterus terang yang dia sedang berusaha mendapatkan khidmat penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini demi mencorakkan portfolio nyanyiannya.

Bagi anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini, persona Hael yang juga rakan sebayanya itu bukan sahaja menyerlah sebagai seorang penyanyi bahkan mempunyai bakat besar dalam bidang penggubahan lagu.

“Sejujurnya, karya-karya sentuhan Hael sangat berbeza berbanding lambakan lagu sedia ada di pasaran Malaysia.

“Kerana itu tidak hairanlah dia berjaya mengungguli pentas akhir pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-32 yang berlangsung awal tahun ini.

“Bukan itu sahaja, lagu-lagu ciptaannya yang dinyanyikan oleh beberapa penyanyi tempatan juga amat berkualiti.

“Hael dan pasangan duonya, Ezra Kong bijak memanipulasi karakter seseorang artis itu untuk menghasilkan sebuah karya hebat, sekali gus menaikkan nama penyanyi berkenaan,” katanya memberi pujian.

Justeru, bintang realiti Juara Pujaan RTM 2015 itu menyimpan hasrat agar suatu hari nanti dia berpeluang menyanyikan lagu nukilan Hael dan Ezra.