Tentunya ramai yang masih ingat akan episod kontroversi dakwaan seorang lelaki dari Johor yang mengatakan Adi telah mengganggu isterinya. Kononnya Adi yang ketika itu berada di Tanah Suci telah mengirimkan gambar kurang senonoh kepada wanita bernama Nooraida Abdul Talib. Tidak dilupakan juga, episod perkahwinan mereka dibawa ke mahkamah lantaran permohonan Adi sendiri untuk bercerai dengan isterinya ini, tetapi kemudian ditarik semula. Siapakah yang mampu menjadi setabah Aida? Tidak ramai sebenarnya.

Enggan terlalu terbuka berbicara, dalam bahasa yang cukup sopan, wanita ini bercakap tentang prinsip yang perlu dipegangnya sebagai isteri pertama Adi.

“Sebagai suami, Adi sudah jelaskan dalam sidang media. Dia mengaku sudah berkahwin lagi. Jadi, saya anggap itu benar dan segala desas-desus sudah terjawab. Selain itu, saya juga mempunyai prinsip sendiri iaitu tidak akan sesekali mengaibkan suami saya walau dalam apa juga keadaan,” katanya.

Tidak mahu lagi mengulas mengenai keadaan sebenar dalam hatinya, Aida kekal meminta supaya semua pihak menghormati antara satu sama lain.

“Saya hormati tugas wartawan untuk mendapatkan berita. Tetapi, saya seboleh mungkin mahu elakkan untuk menjadikan sesiapa mangsa keadaan, buat waktu ini. Bagaimanapun kalau ada sesiapa mahu meramalkan apa-apa tentang kami, apa yang boleh saya katakan, tunggu sahajalah,” katanya.

Berhenti memalukan abang saya – Farah

Disebabkan keputusan Adi untuk membiarkan sidang akhbar itu berlangsung secara terbuka, sesiapa sahaja boleh hadir. Antara yang menjadi perhatian pada sidang akhbar tempoh hari tentunya keberanian seorang gadis yang bersungguh-sungguh mahu mempertahan maruah abangnya.

Dikenali sebagai Nur Farah Ilyana, 25, dan soalan yang diajukan kepada Adi cukup menggegarkan ruang sidang akhbar. Pertanyaannya mudah: “Apakah Adi tahu, ketika keluar dengan isteri keduanya, wanita itu masih dengan status sebagai isteri orang?”

Farah juga menjelaskan dia hadir demi untuk mempertahan abangnya yang dikenali sebagai Raziman. Lelaki ini adalah bekas suami kepada isteri kedua Adi.

“Saya tidak tahu apa tujuan Adi memuat naik, nombor telefon dan gambar abang saya di laman sosialnya. Soalnya, abang saya sangat tertekan dengan keadaan ini memandangkan ramai yang mengganggunya ekoran daripada penyebaran nombor telefon,” beritahu Farah dalam majlis itu.

Menolak abangnya menjadi dalang kepada bocornya kisah perkahwinan kedua Adi, tiada sebab untuk abangnya mencari publisiti dalam keadaan ini.

“Adi kena tahu bukan abang saya yang mendedahkan perkahwinan ini. Bukan dia juga yang sebarkan status luahan perasaan di Facebook mengenai rumah tangganya dengan bekas isteri. Tidak terlintas dalam fikiran abang saya untuk mencari publisiti,” ujarnya.

Ditanya sama ada dakwaan mengenai bekas kakak iparnya, Nur Shahida yang dikatakan sanggup meninggalkan anak untuk berkahwin dengan Adi, Farah dengan jujur memberitahu bukan itu yang berlaku.

“Ketika mereka mahu bercerai, abang saya memberikan kata dua. Jadi abang saya ambil anak, dia boleh diceraikan. Sebenarnya hubungan ini sudah diketahui sejak tahun lalu lagi. Bila mereka bercerai, saya fikir soalan butiran seperti ini lebih elok ditanya kepada abang saya sahaja,” katanya.

Usah ganggu isteri-isteriku - Adi

KETIKA ini bukan sesuatu rahsia lagi yang pelakon Adi Putra sudah pun bernikah kali kedua. Dia memilih tarikh 20 Jun lalu untuk disatukan dengan isteri keduanya, seorang ibu tunggal. Tidak memberitahu nama sebenar wanita itu, media telah mendapatkan sumber sahih di mana wanita itu bernama Nur Shahida Zulkifly, 33, seorang pegawai kerajaan.

Soalan yang lebih panas kini, adakah pelakon yang berasal dari Singapura ini yang menjadi sebab keruntuhan rumah tangga isteri keduanya itu dengan bekas suami? Ketika sidang akhbar baru-baru ini, ternyata Adi sudah bersedia dengan jawapan dari setiap soalan wartawan. Harus diakui, bukan mudah sebenarnya untuk memahami setiap butiran jawapan yang dikeluarkan Adi, memandangkan terlalu berbelit. Malah pertanyaan sama ada perkahwinan ini sah di sisi undang-undang Malaysia, Adi nampaknya lebih senang meninggalkan tanda tanya.

“Buat masa ini saya tidak boleh dedahkan butiran perkahwinan kedua saya. Tetapi saya bernikah pada 20 Jun dalam Malaysia. Siapa juga isteri-isteri saya tidak perlu saya dedahkan sebab itu aib mereka. Yang perlu menjawab adalah saya, sebab ini adalah bidang saya,” katanya yang hanya mengenali isteri keduanya ini selama tujuh bulan sebelum bernikah.

Ditanya mengenai restu isteri pertamanya, dengan yakin Adi memberitahu, tiada rahsia antara mereka.

“Aida sudah tahu akan perkahwinan ini. Tetapi saya bangga dengan dia kerana memberi hak kepada saya untuk menjelaskan kepada media hal ini. Bagaimanapun Aida dan isteri kedua saya masih belum bertemu buat masa ini, sebab apa, biarlah rahsia,” pintanya.

Bercakap mengenai perkahwinan rahsia ini, Adi menjelaskan sebenarnya dia sudah mempunyai niat untuk berkongsi dengan peminat. Bagaimanapun kebocoran kisah lebih awal menyebabkan segala perancangnya awal itu terjejas.

“Saya memang mempunyai rancangan untuk berkongsi kisah perkahwinan baharu ini. Bila? Pada awalnya saya sendiri tidak tahu bila untuk bercerita. Ia seperti mati, kita juga tidak tahu bilakah kita akan mati, apatah lagi perancangan seperti ini. Bagaimanapun bila perkara ini bocor saya tidak marah, sebab saya tahu lambat laun perkara ini akan diketahui juga,” katanya. - Gambar JEFRI IRAN