FTM 2016 akan diadakan pada 20 hingga 26 November ini di Auditorium JKKN Kedah di mana buat pertama kalinya diadakan di luar Lembah Klang.

Menurut Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli, pemilihan untuk mengadakan FTM 2016 di luar ibu negara adalah sebagai satu kelainan berbanding penganjurannya sebelum ini.

“Secara peribadi, saya rasa penduduk di Kuala Lumpur mempunyai terlalu banyak pilihan festival seperti ini. Oleh itu, dengan penganjuran FTM di luar Lembah Klang ini diharap dapat memberi peluang dan menarik minat orang Utara untuk menghadiri festival yang menyediakan pelbagai aktiviti kesenian ini,” ujarnya.

Selain lokasi, FTM kali ini turut memperkenal anugerah baharu iaitu Anugerah Khas Festival Teater Malaysia. Anugerah ini akan diberikan kepada empat orang tokoh teater negara yang telah banyak berjasa kepada pembangunan industri teater Malaysia.

“Sempena FTM 2016 ini juga, buat pertama kalinya JKKN akan menyampaikan anugerah khas kepada penggiat teater negara kita. Empat orang tokoh yang telah dipilih iaitu Datuk Rahim Razali, Morad Ibrahim, Fauziah Nawi dan Shahili Abdan atau lebih dikenali dengan nama Namron,” jelasnya dalam majlis sidang media FTM 2016 di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seperti penganjurannya sebelum ini, FTM 2016 masih mengekalkan konsep pertandingan teater antara enam kumpulan terbaik dalam kalangan pemenang Festival Teater Negeri 2015.

Menerusi Festival Teater Negeri 2015, sebanyak 104 kumpulan dari 14 buah negeri seluruh Malaysia telah bertanding dan hanya satu pemenang dipilih bagi setiap negeri. Daripada 14 kumpulan tersebut, enam kumpulan yang dipilih oleh panel penilai layak memasuki FTM 2016.

Enam kumpulan teater yang akan bertanding dalam FTM kali ini ialah Persatuan Teater Opera Mimpi Negeri Perlis dengan karya bertajuk Ka’ Sorga, Gabungan Seni Warisan Anak Pulau Pinang (The Maids), Persatuan Seni Ceritera Negeri Selangor (Jalan Mati), Stage Production Universiti Malaysia Sabah (Prebet Kabimbangan), Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan (Tergantung) dan Persatuan Seni Persembahan Sifar Kuching Sarawak (Si Panji Rumput).

Selain daripada pertandingan teater dan malam anugerah, FTM 2016 turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Bengkel Teater FTM16, Open Mic @ Sembang Teater, mini pesta buku, gerai makanan dan minuman, pameran oleh kumpulan yang bertanding serta persembahan kesenian.

Senarai kategori yang dipertanding dan hadiah:

Johan 
(RM10,000)
Naib Johan 
(RM8,000)
Tempat ketiga 
(RM6,000)
Pengarah Terbaik (RM2,000)
Pelakon Lelaki Terbaik (RM2,000)
Pelakon Wanita Terbaik 
(RM2,000)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik 
(RM1,500)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik 
(RM1,500)
Pelakon Harapan Lelaki 
(RM1,000)
Pelakon Harapan Wanita 
(RM1,000)
Anugerah Khas Juri (RM1,500)
Teknik Terbaik B(RM1,000)