EMMA MAEMBONG

Jelas Emma keinginan untuk mengeluarkan hasil seninya di atas tudung sudah lama dipendam, bagaimanapun kekangan masa membuatkan hasratnya hanya dapat direalisasikan sekarang.

“Saya memang seorang pelukis sebelum bergelar pelakon, Timbul idea bila saya tahu tidak semua mampu membeli hasil seni saya. Jadi adik beradik saya yang lain muncul dengan idea untuk memperkenalkan My Sketchbook Shawl By Emma Maembong.

“Jadi saya terjemahkan hasil seni saya di atas tudung. Bagaimanapun bukanlah bermakna karya ini hanya untuk mereka yang bertudung. Saya juga mahu ia dijadikan koleksi buat mereka yang ingin menghargai nilai seni saya juga,” katanya.

Tidak pernah melupakan bidang lukisan, kata Emma sehingga kini dia masih berkarya. Bagaimanapun kekangan waktu membuatkan dia terpaksa membataskan waktu untuk seninya ini.

“Saya tidak pernah lupakan minat saya dalam bidang lukisan malah setiap hari saya melukis kalau ada waktu terluang. Selalunya saya selalu membawa buku lakaran ke mana-mana sahaja.

“Jadi bila kakak saya, Yaya Maembong memberi idea bagaimana hasil seni itu boleh di nikmati mereka di luar sana, saya setuju untuk tubuhkan My Sketchbook Shawl By Emma Maembong bersama mereka,”katanya.

Sebelum ini, My Sketchbook Shawl By Emma Maembong telah mengeluarkan tiga koleksi tudung melalui Libelle, Metafora, Fatamorgana sebelum ini. Kini empat lagi koleksi terbaharu akan diperkenalkan iaitu Budaya, Hibisco, Bumi Kita dan Seashell. Harga setiap koleksi bermula dari harga RM55 sehingga RM 99. - UTUSAN ONLINE