Antara nama paling menonjol dan sering meniti di bibir penggemar muzik adalah Elizabeth Tan, sensasi YouTube yang tidak sekadar memiliki raut wajah cukup jelita malah berbakat besar dalam bidang nyanyian dan bermain alat muzik.

Elizabeth yang semakin terkenal dengan lagu Knock-knock, mengakui penglibatannya dalam industri seni bukan perkara mudah dan memerlukan persediaan mental serta fizikal.

Katanya, untuk terus kekal bersaing dalam industri, dia perlu mempelajari selok belok industri dan pada masa sama memperbaiki kelemahan yang ada.

"Tidak dinafikan, selain diterima baik oleh penggemar muzik tempatan, ada juga yang mengkritik kelemahan saya khususnya daripada segi kekuatan vokal. Namun saya mengambil semua kritikan sebagai perkara positif dan membina.

"Oleh kerana itu, saya ambil langkah proaktif untuk memperbaiki kelemahan termasuk mengikuti kursus latihan bagi memantapkan kebolehan vokal," katanya.

Disoal mengenai kunjungannya ke negara jiran, ada desas-desus mengatakan Elizabeth bakal melebarkan sayap dan mencuba nasib untuk menyinar di Indonesia.

Namun dakwaan tersebut disangkal Elizabeth yang menegaskan kunjungannya ke Indonesia atas dasar jemputan untuk membuat persembahan nyanyian dan muncul di beberapa program televisyen negara tersebut.

"Perjalanan karier saya masih jauh dan buat masa ini saya tidak bercadang untuk mencuba nasib di Indonesia. Saya ingin fokus pada industri tempatan terlebih dahulu sebelum melangkah lebih jauh ke peringkat antarabangsa," jelasnya.

Disoal mengenai peluang bekerjasama dengan penyanyi, Faizal Tahir, Elizabeth memberitahu dia cukup mengakumi kebolehan dan bakat semula jadi penyanyi tersebut.

"Dia (Faizal) merupakan inspirasi besar buat saya. Seorang yang sangat rendah diri dan bersikap terbuka. Saya amat senang bekerja dengan seorang yang cukup profesional sepertinya.

"Saya dan Faizal akan tampil berkolaborasi dalam single kedua saya yang sudah pun siap proses penghasilannya. Kali ini, lagu yang disampaikan berkonsepkan balada dan akan diperdengarkan kepada peminat tidak lama lagi," ujarnya.

Tidak hanya berbakat dalam bidang nyanyian, Elizabeth kini melangkah lebih berani untuk menceburkan diri dalam bidang lakonan. Peminatnya akan dapat menyaksikan kebolehan Elizabeth berlakon dalam sebuah filem arahan Mamat Khalid yang akan ditayangkan September depan.

"Ini adalah penampilan sulung saya dalam bidang lakonan. Walaupun cukup menyeronokkan namun ia bukan semudah yang disangka. Tambahan lagi skrip yang ditulis 100 peratus dalam bahasa Melayu membuatkan ianya cukup mencabar.

"Lakonan adalah bidang yang cukup luas. Kalau boleh selepas ini saya ingin cuba watak lebih berbeza khususnya dalam filem atau drama berbahasa Inggeris," tambahnya. – AL FAIZAL