“Saya suka menyanyi tetapi tak menyangka menjadi penyanyi. Kalau ikutkan saya lebih suka untuk menjadi pengacara atau pelakon. Menyanyi tu sekadar suka-suka,” katanya.

Bercakap mengenai perubahan, kata Elizabeth, dia bagaimanapun tidak kisah menjadi perhatian orang ramai namun mengakui kadangkala berasa tertekan.

“Saya selalu memikirkan cara agar terus kekal relevan dan unik dalam industri. Saya tak mahu cuma dikenali sebagai Gadis Havoc. Kehilangan privasi bukan masalah besar kepada saya sebab saya tak kisah sangat mengenai hal itu.

“Yang saya fikir adalah kebimbangan sekiranya cuma menjadi artis popular bermusim saja. Saya sedar saya naik cukup cepat, graf saya 90 darjah. Itu membimbangkan sebab orang kata cepat naik, maka cepatlah turun. Bila dah terlalu cepat ada di puncak, nanti saya nak buat apa?

“Tetapi saya percaya dengan kelebihan dan kebolehan yang ada pada Faizal Tahir. Saya bersyukur kerana dia banyak bantu saya dalam industri. Tetapi itu tidak bermakna saya boleh bergantung pada dia sahaja, usaha juga harus datang dari diri saya sendiri,” katanya.

Tidak memaksa keadaan kata Elizabeth, dia lebih senang untuk tidak terlalu memikirkan hal berkenaan dan berserah saja pada aliran kehidupan dan takdir.

Sempat mengulas mengenai kedudukan popularitinya yang dikatakan lebih hebat di Indonesia berbanding di tanah air sendiri kata Elizabeth yang tidak pandai berbahasa Cina ini, dia melihat situasi itu tidak ada bezanya.

“Saya anggap diri saya bertuah kerana dalam tempoh singkat, saya mendapat banyak sokongan peminat Indonesia, Singapura mahupun tanah air.

“Saya sebenarnya terharu juga sebab dalam satu masa, saya dapat mengumpul peminat bukan saja untuk pasaran urban tetapi untuk luar bandar. Mungkin mereka suka saya sebab saya penyanyi bukan Melayu yang menyanyi dalam bahasa Melayu, ” katanya sambil tersenyum.

Menurut Elizabeth lagi, dia bertuah kerana impiannya untuk menjadi pelakon menjadi kenyataan apabila Shy8 atau Usop Wilcha menawarkan dia berlakon filem berjudul Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium yang dijangka ditayangkan pada tahun depan.

“Kelakar juga bagaimana Usop tawar saya berlakon. Masa tu saya menyanyi di Damansara sebelum ditemui oleh Usop yang bertanya sama ada saya mahu berlakon sebagai watak utama filem berkenaan.

“Saya hairanlah sebab saya tak pernah berlakon dan dia pun tak pernah tengok saya berlakon. Jadi macam mana dia tahu saya boleh bawa watak itu? Dia cakap, saya ada kriteria yang dia mahukan yang sesuai dengan watak,” katanya.

 

SEKALI sudah melangkah masuk ke dalam dunia glamor, lupakan saja saya soal privasi kerana itu semua sudah bukan lagi menjadi milik anda.

Itu yang dialami oleh penyanyi baru, Elizabeth Tan, 21, yang kini popular dengan lagu Knock Knock ciptaan Faizal Tahir.

Kalau sebelum ini dia boleh hidup sebagai seorang gadis biasa, sekarang tidak lagi. Apa yang berlaku pada hari ini ialah Elizabeth sudah menjadi perhatian ramai.

Rimas? Ya, barangkali. Tetapi bagi Elizabeth sendiri, dia menganggap hal itu sebagai satu pengorbanan yang terpaksa dilakukan sama seperti artis lain.

Mula meraih perhatian ramai menerusi lagu Maafkan Aku yang dicipta dan dimuat naik di You Tube sekitar Ogos tahun lepas, hidup Elizabeth sekarang tidak lagi seperti dahulu.

Segera meraih populariti dengan mudah, gadis Cina ini berada dalam transisi baru yang menyaksikan cara dan gaya hidupnya berubah dalam sekelip mata.

“Saya pun terkejut apabila video nyanyian saya di You Tube mendapat sambutan yang memberangsangkan. Walaupun ia dibuat sekadar suka-suka sahaja di peringkat awal kerana menyanyi adalah hobi saya.

“Tapi tak sangka pula, selepas memuat naik lagu Havoc dalam versi saya, banyak syarikat rakaman gergasi di sini tampil dengan tawaran kontrak untuk saya bersama mereka. Tetapi, saya akhirnya memilih untuk bersama Faithful Music. Sejak itu hidup saya dah jauh berbeza dari sebelum ini,” katanya.