Menurut gadis berusia 24 tahun yang mesra disapa Lizzy, selain akibat putus cinta, masalah peribadi yang melibatkan keluarga turut menambahkan lagi tekanan sehingga dia gagal mengawal perasaan dan hampir membunuh diri.

“Saya melalui detik hitam dalam kehidupan saya apabila semua masalah berlaku dalam masa yang sama. Akibatnya, saya hampir hilang akal dan terlintas dalam fikiran untuk membunuh diri.

“Masalah cinta dan hal-hal lain datang secara serentak sehingga saya pernah rasa seolah-olah saya sudah hilang kepercayaan kepada tuhan.

“Namun, saya amat bersyukur kerana saya mempunyai seorang ibu yang memahami keadaan saya dan berusaha membawa saya berjumpa doktor pakar untuk rawatan.

“Saya juga dikelilingi rakan-rakan berbilang agama yang sentiasa memberikan kata-kata semangat untuk saya bangkit melawan tekanan dan masalah tersebut.

“Kini saya sudah pulih dan sentiasa terbuka dalam berkongsi masalah sama ada dengan keluarga atau rakan-rakan baik saya,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharunya berjudul Darling di Pejabat Warner Music di Mutiara Damansara, di sini semalam.

Dalam pada itu, Lizzy atau nama sebenarnya Elizabeth Tan Su Mei turut mengakui mahu memperlahankan karier nyanyian sebaliknya ingin fokus dalam bidang lakonan.

Tambahnya, minat yang mendalam terhadap lakonan berbanding nyanyian membuatkan dia nekad dengan keputusannya itu.

“Sebenarnya saya tidak begitu menyukai nyanyian kerana sejak kecil saya sebenarnya lebih cenderung ke arah lakonan.

“Jadi pada tahun ini, saya merancang untuk menumpukan perhatian terhadap bidang lakonan. Saya rasa lebih gembira dengan kerja sebagai pelakon berbanding menjadi penyanyi,” ujarnya yang membintangi drama bersiri My Darling Inspektor Danial. - UTUSAN ONLINE