Gedik, manja, mengada-ngada dan tampil manis sepanjang masa, penyanyi Elizabeth Tan cukup yakin itu bukan gambaran dirinya yang sebenar.

Pun begitu, selama lima tahun serius berkecimpung dalam industri seni tanah air, personaliti ini adakala perlu menjadi topeng  mengikut acuan dikehendaki pihak pengurusan.

Bukanlah mahu memberontak, cuma bagi wanita yang mesra disapa sebagai Lizzy ini, sudah tiba masanya imej itu dipadamkan dan dia perlu muncul sebagai diri sendiri.

Imej penuh sensual menerusi tarian yang dipersembahkan dalam muzik video baharu berjudul Police Entry, baru-baru ini seolah-olah menunjukkan sisi sebenar Lizzy yang kini semakin berani bereksperimentasi.

Diakui sendiri oleh penyanyi berusia 25 tahun ini, Lizzy sudah bersedia untuk melepaskan siapa dirinya yang dahulu dan mahu dikenali sebagai seorang yang lebih matang.

“Memang saya sengaja tampil seksi dalam muzik video itu sebab nak tunjuk sisi diri yang berbeza, lebih matang, menggoda dan berani. Saya dah tak mahu lagi dikenali dengan imej macam ‘girl next door’.

“Personaliti yang manis, manja itu semua bukan diri saya. Mungkin ada sisi manis pada diri tapi tidaklah terlalu kewanitaan,”katanya.

Mengaku tidak kisah dilabel seksi selepas ini, Lizzy bagaimanapun sedar dia masih tahu batas diri untuk tidak tampil keterlaluan apalagi terlalu mencolok mata.

“Seksi boleh, tapi tidaklah melampau. Asalkan mama saya masih benarkan, saya akan gayakan. Kecuali kalau dia sudah ‘bising’, saya pun tak nak cari pasal,”katanya ketawa.

Tahu wujudnya cakap-cakap belakang termasuk komen yang dibacanya di media sosial mengenai kritikan seksi, Lizzy bagaimanapun ‘melayan’ semua itu juga dengan cara yang lebih matang.

Katanya, berbanding dahulu di mana dia mudah tertekan dan kemurungan, Lizzy yang kini lebih relaks dengan sebarang kritikan meski sedar adakalanya bersifat ingin menjatuhkan.

“Bukan tidak peduli langsung, cuma sekarang saya sudah belajar untuk mengendalikan semua itu dengan tenang. Kalau kritikan dengan niat membina tak apa, saya kena terima.

“Kalau dulu, sikit-sikit saya akan tertekan, sudahnya tidak ke mana pun kalau terus melayan kerenah netizen ni,” katanya.