Jika bekas tunangnya, Sufian Suhaimi melancarkan single baharu berjudul Di Matamu yang menceritakan tentang perasaan sedihnya kerana percintaan yang tak kesampaian, pelakon Elfira Loy pula memperkenalkan program bual bicara secara langsung dalam laman sosial Instagram miliknya berjudul thELive.

Pengumuman tersebut yang tertunda selama sejam akibat masalah teknikal disiarkan secara langsung menerusi akaun Instagram milik adiknya @azlisaaloy pada pukul 6.30 petang tadi di sebuah hotel di sini.

Menurut Elfira, 24, program yang akan membincangkan tentang isu semasa, gaya hidup dan kecantikan itu akan disiarkan setiap bulan.

“Menerusi program tersebut, saya akan dapat berkomunikasi dengan pengikut Instagram saya. Kami akan berbicara tentang pelbagai topik menarik,” katanya.

Pada pengumuman itu, Elfira turut memberi ucapan penghargaan kepada ibunya, Filzah Yusof yang selama ini sentiasa menyokong dan melindunginya.

“Ibu saya adalah insan yang membuatkan saya kuat ketika berdepan pelbagai dugaan dan cabaran. Apa sahaja yang dia lakukan, niatnya hanya untuk anak-anak bukannya untuk diri sendiri.

“Dia sanggup dipersalahkan asalkan bukan anak-anaknya yang menanggung kecaman orang luar. Sebagai anak, saya sangat sedih apabila orang sanggup mengeluarkan tohmahan kepadanya,” ujarnya dalam nada sebak.

Pagi tadi, Sufian telah melancarkan single Di Matamu dalam laman perkongsian video YouTube dan sehingga 7 petang ini, muzik video tersebut telah mendapat lebih 770,000 tontonan. - UTUSAN ONLINE