Bukan niat untuk menunjuk-nunjuk tetapi dia mahu agar orang ramai mengambil iktibar daripada kesilapan yang pernah dilakukannya sebelum ini. Hanya kerana bimbangkan persaingan dalam dunia hiburan dan risau tidak berjaya membina empayar telah membuatkan dia kemurungan dan tertekan.

Malah kerana terlalu memikirkan ramai pelakon wanita yang lebih jelita dan berbakat, Elfaeza mengakui melakukan pelbagai cara untuk kekal cantik dan langsing sehingga pernah mengamalkan diet yang salah.

“Saya mempunyai keluarga yang kebanyakannya berbadan besar termasuk kakak dan adik saya. Walaupun saya nampak kurus, sebenarnya berat badan saya mudah naik. Pernah satu ketika, dalam masa satu bulan, berat badan saya naik sehingga lapan kilogram (kg). Keadaan itu membuatkan saya panik sedangkan saya diet.

“Rupa-rupanya saya melakukan cara yang salah. Saya akui, apabila berada dalam keadaan itu, saya cepat rasa tertekan,” katanya.

Beranggapan bahawa seorang pelakon wanita harus sentiasa menjaga penampilan dengan bentuk badan kurus dan ramping sebagai tanda aras kecantikan, Alfaeza mengakui, pernah kemurungan kerana terlalu ingin kelihatan cantik.

“Sebagai seorang pelakon, kita kena nampak cantik di depan kamera dan televisyen. Tapi apabila tengok berat badan naik ketika itu, Tuhan saja yang tahu perasaannya. Saya rasa rendah diri, rasa tak cantik dan kerana begitu tertekan, saya jadi murung.

“Pakai apa sahaja rasa tak kena malah saya pernah tidak keluar rumah langsung kerana terasa gemuk. Keadaan itu membuatkan saya rasa tak sihat tetapi nasib baiklah saya cepat sedar yang saya kena ubah cara dan gaya hidup saya,” katanya.

Pernah mencuba pelbagai cara untuk langsing termasuk mengambil pil kurus, kata Elfaeza, dia kemudiannya disaran supaya tidak mengamalkan pemakanan salah seperti itu dan fokus kepada pengambilan makanan yang lebih sihat dan melakukan senaman secara konsisten.

Mengakui telah banyak wang dilaburkan semata-mata untuk kelihatan cantik, wanita berusia 30 tahun ini enggan lagi menyeksa dirinya seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini.

“Betul kata orang, kita kena selalu yakin dengan kecantikan asli dan harus gembira dengan tubuh badan sendiri. Pendek kata, kita kena sayangi diri sendiri. Tetapi saya ini pelakon, kalau saya tak betul-betul jaga, nanti tak ada pula orang nak ambil saya bekerja.

“Kemudian saya cuba buat kajian sendiri dan banyakkan membaca buku dan bahan-bahan rujukan mengenai amalan gaya hidup sihat. Saya lakukannya dengan konsisten dan penuh komitmen. Alhamdulillah, saya dapat capai berat impian,” katanya.

Meskipun kini bertubuh ramping, Elfaeza mengelak untuk sentiasa berpuas hati dengan bentuk tubuhnya kerana bimbang akan terjebak dalam zon selesa sehingga dia mengambil lewa usaha yang dilakukannya selama ini.

“Saya pernah berada dalam keadaan yang salah dan saya tahu perasaan mereka yang mahu menurunkan berat badan. Sebab itu saya mahu bantu orang lain yang nak kurus supaya buat dengan cara yang betul, jangan jadi seperti saya dulu,” kata pelakon drama Adam & Hawa ini.

Gigih menyertai program Jom Kurus 1Malaysia yang diasaskan oleh Kevin Zahri sejak setahun lalu dan terlibat secara langsung sebagai salah seorang jurulatih kecergasan di bawah program tersebut, kata Elfaeza, dia mahu membantu mereka yang mempunyai misi dan visi yang sama untuk bersama-sama mencapai hasrat yang diingini.

“Saya bukan seorang jurulatih bertauliah tetapi saya mempunyai banyak pengalaman dalam mengurangkan berat badan sebelum ini yang ada di antaranya tidak berjaya dan memerlukan kos tinggi. Jadi menerusi program ini saya ingin berkongsi dengan mereka yang berminat menerusi teknik senaman yang betul dan pemakanan sihat,” katanya.

Dalam pada itu, Elfaeza menafikan bahawa keinginan untuk kekal cantik dan ramping adalah kerana dia kini sedang dilamun cinta. Mengakui dirinya masih solo, fokusnya hanya kepada kerjaya.

“Saya tahu orang akan kata klise tetapi itu yang saya rasa sekarang. Tak ada teman lelaki pun rasanya tak salah kalau saya mahu sentiasa kekal cantik.

"Cantik itu adalah untuk kepuasan diri sendiri, bukannya untuk orang lain,” katanya.