Lakonan Elfaeza atau nama sebenarnya Siti Elfaeza Mohmed Ehsan Ul Haq terbukti berkesan melalui watak yang dipegangnya iaitu Azie dalam drama popular Adam dan Hawa yang pernah ditayangkan di sebuah stesen televisyen tempatan suatu ketika dahulu.

Ujarnya, dia lebih selesa menjalani kehidupan sebagai artis tanpa sebarang kontroversi dan berharap karier seninya yang baharu bermula di Malaysia akan terus berkembang seperti bakat-bakat lain dari Kota Singa yang telah mencipta nama di negara ini.

“Kehidupan saya selepas bergelar artis di negara ini adalah seperti biasa. Saya akui kurang terdedah kepada media kerana lebih gemar mendiamkan diri jika tiada cerita menarik yang mahu dikongsikan.

“Saya bersyukur, sepanjang dua tahun menempatkan diri dalam dunia lakonan, masyarakat sudah mula menerima kehadiran saya,” katanya yang tidak terlepas daripada digosip menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon kacak, Zul Ariffin.

Bakal muncul dalam drama bersiri berjudul Keluarga Karaoke yang akan ditayangkan pada Februari ini di Mustika HD (Astro 134), Elfaeza berkongsi cabaran yang dihadapi dalam naskhah baharu kali ini.

Kata pelakon berusia 29 tahun itu, antara cabaran yang terpaksa diharungi ketika berada di lokasi penggambaran adalah keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Cabaran lain yang turut dihadapi adalah ketika babak disimbah cat. Bayangkan, saya mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menanggalkan kesan cat tersebut.

“Malah, seluruh badan saya mengalami gatal-gatal dan kemerah-merahan. Bagaimanapun, ia adalah pengalaman menarik bagi diri saya yang masih baharu dalam dunia seni,” ujarnya.

Tambahnya, sepanjang menjalani penggambaran drama tersebut, dia tidak menerima tawaran lakonan lain.

“Saya tidak menerima sebarang tawaran lakonan dari produksi lain sepanjang tiga bulan melakonkan watak Fazura yang merupakan anak bongsu kepada Tuan Kazab iaitu pemilik pusat karaoke De Maria.

“Bukan apa, saya bimbang jika menyusahkan produksi lain untuk menyusun dahulu jadual penggambaran terlebih dahulu,” ujarnya. – DHIYA’ZULHILMI DAUD / SHEFRY MONIZ MOHD. NIZAR