Bagi Nasir, agak sukar untuk dia menyentuh tentang Yazit kerana risau ada yang kecil hati atau sebagainya.

“Buat masa ini, sepanjang kami melakukan latihan selama sebulan, Yazit tidak hadir. Kami tunggu setiap hari tetapi dia tetap tidak muncul.

“Mengenali Yazit sejak daripada dulu, dia merupakan seorang yang sangat disiplin dan menepati masa. Jadi, mungkin faktor kesihatan yang tidak mengizinkan dia hadir,” jelasnya yang belum dapat memberikan jawapan tepat.

Bagaimanapun, dalam sesi latihan sebelum ini, anggota Search tetap akan meneruskan segmen yang dijangka selama setengah jam bagi menghargai kehebatan seorang Yazit.

“Buat masa ini kami akan tetap meneruskan segmen itu. Tetapi, sekiranya dia tidak hadir pada hari persembahan, maka kami terpaksa membatalkan sahaja segmen penghargaan itu,” jelasnya.

Sebagai kumpulan Search, rakan-rakan memang mahukan Yazit turut serta dalam konsert kali ini apatah lagi ini adalah kali pertama mereka bermain di sebuah pentas berprestij.

“Kami mahukan Yazit bersama dalam pengalaman ini. Tetapi dalam masa yang sama, kita kena bersikap realistik.

“Keadaan Yazit daripada segi staminanya memang agak merisaukan. Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini atas pentas, ia akan mengganggu perjalanan konsert dan merisaukan banyak pihak,” ujarnya.

Buat masa ini, mereka sudah menyediakan pemain dram kedua yang akan bermain 90 peratus daripada keseluruhan konsert.

Yazit sebelum ini sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana menderita sakit buah pinggang.

 

MALAM ini, genderang itu akan memulakan tingkah. Sekian lama segala skill tersimpan dalam khazanah kenangan, malam ini, melalui temujanji khas, sesuatu yang terhebat bakal kita saksikan, bergerak atas sebuah nama nostalgia, Search. Hanya beberapa jam lagi acara besar ini akan berlangsung, pasti, jaguh bagaimana sekalipun di padang muzik, ada risau yang bertandang. Sudah semestinya, risau dan gusar seandainya sesuatu yang tidak dijangkakan terjadi, di depan mata penonton yang hadir dan membayar ratusan ringgit untuk menikmati seni mereka. Sebagai sebuah kumpulan rock yang sudah bertapak lama dan dianggap legenda dalam industri muzik rock tempatan, pastinya hanya yang terbaik dan paling nostalgia menunggu pencinta mereka, yang datang khas dari seluruh negara.

Bagi ketua kumpulan Search, Nasir Daud, dia berharap konsert Search: Live In Istana Budaya 2014 selama empat hari yang akan bermula malam ini, berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Masih terkenang akan konsert Rock N’ Roll Pie di Stadium Merdeka pada 1996, ia adalah satu panduan untuk mereka tidak lagi khilaf.

Ketika itu, dia sebagai pemain bes terpaksa bermain dalam keadaan tertekan selama 20 minit kerana beberapa masalah teknikal yang berlaku.

“Ketika itu, gitar bes saya mengalami gangguan teknikal. Saya terpaksa meminjam bes juruteknik Sam daripada kumpulan Cromok, bayangkanlah.

“Gitar saya rosak ketika 15 minit sebelum konsert bermula. Memang tidak sempat untuk dibaiki dalam masa yang singkat.

“Sebagai pemuzik, kita sebenarnya lebih selesa dengan alat muzik yang kita sudah biasa. Apabila berlaku masalah teknikal dan terpaksa menggunakan alat muzik yang bukan milik kita, tumpuan pada persembahan memang akan terganggu,” jelasnya.

Namun bagi Nasir, dia yakin dengan teknologi canggih kini, masalah teknikal itu diharapkan tidak berlaku sekali gus melancarkan perjalanan konsert.

Telah menjalani sesi latihan selama sebulan, tidak banyak yang digusarkan untuk konsert besar kali ini. Daripada segi stamina pula, bukan sesuatu yang luar biasa untuk mereka bermain muzik di atas pentas selama dua hingga ke tiga jam.

“Jadi, tenaga untuk kita di atas pentas memang sudah bersedia sepenuhnya cuma kami banyak berlatih daripada segi lagu sahaja,” katanya.

Persiapan fizikal daripada ahli kumpulan juga giat dilakukan terutamanya daripada segi pernafasan.

“Kami juga telah menyediakan tangki oksigen di belakang pentas untuk ahli yang memerlukan. Itu perkara biasa, artis di peringkat antarabangsa juga meletakkan tangki oksigen sebagai persediaan sekiranya diperlukan,” jelas Nasir.

Tiket untuk menyaksikan konsert berkenaan dijual bermula pada harga RM109 sehingga RM799 (VIP).

Sebahagian kutipan jualan tiket konsert akan disalur untuk tabung bantuan masyarakat di Gaza.

Peminat boleh mula membuat tempahan tiket di www.ticketpro.com.my.