Biarpun secara dasarnya sambutan Lebaran di ibu kota tidak meriah seperti di kampung namun pemain gitar berusia 41 tahun ini mempunyai cara sendiri untuk memastikan keriangan Lebaran sama seperti di desa.

“Walaupun saya sudah terbiasa beraya di ibu kota sejak kecil tetapi saya tidak pernah melupakan tradisi sambutan Hari Raya seperti yang berlangsung di kampung.

“Saya masih bertakbir di malam raya, bermaaf-maafan antara satu sama lain dan mengunjungi rumah sanak saudara untuk mengeratkan silaturahim kerana di situlah terletaknya semangat Lebaran,” katanya.

Kata Edrie, sudah menjadi menjadi rutin tahunannya untuk ke rumah ibu, Sapiah Ujang, 88, yang terletak di Keramat pada malam Aidilfitri.

Hanya memakan masa 10 minit memandu kereta dari rumahnya, Edrie memberitahu, lazimnya dia bersama-sama jirannya bertakbir dari satu rumah ke satu rumah pada malam raya sebelum pulang ke rumahnya.

Pada keesokan harinya, Edrie dan isteri, Nurul Nadhira Patricia Robert atau Pat serta dua anak mereka - Darren Haikal, 11, dan Dylan Haidar, 3, kembali semula ke rumah ibunya untuk meraikan Syawal bersama-sama.

“Selepas solat sunat Aidilfitri, selalunya kami sekeluarga menziarahi kubur arwah bapa dan sanak saudara yang sudah meninggal dunia di tiga kawasan perkuburan yang berbeza.

“Selesai tanggungjawab itu, kembali ke rumah mak dan menanti rakan-rakan yang tidak pulang ke kampung untuk beraya,” ujar Edrie.

Bagaimanapun Edrie juga mengambil keberkatan Syawal dengan menziarahi sanak saudara sebelah ibunya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Teringat duit raya pertama - Pat

SEPERTI kebanyakan saudara baharu dalam Islam, kata Pat yang juga merupakan vokalis kumpulan Candy, dia melalui pengalaman baharu pada tahun pertama menyambut Hari Raya.

“Masa awal-awal berkahwin dengan Edrie, saya terperanjat apabila menerima duit raya daripada emak mentua dan ipar duai yang lain.

“Saya ingat hanya golongan kanak-kanak saja yang mendapat duit raya, tak sangka pula orang dewasa pun dapat.

“Pernah juga saya bertanyakan kepada emak mentua tentang tujuannya memberikan saya duit raya tapi dia kata itu rezeki saya sebagai saudara baharu dalam Islam.

“Tapi pada tahun berikutnya, saya sudah tak dapat duit raya sebab emak mentua cakap, duit raya saya itu hanya diberikan pada tahun pertama menjadi mualaf,” kata Pat mengimbas kenangan lalu.

Pun begitu kata Pat, sebenarnya dia pernah menerima duit raya apabila sama-sama mengikut kawan-kawan beragama Islam berhari raya ketika zaman kanak-kanaknya.

Memperoleh wang antara 20 sen hingga 50 sen pada setiap kunjungan ke rumah di berek polis Lahad Datu, Sabah, kata Pat, keadaan itu menyebabkan dia teruja untuk sama-sama meraikan Hari Raya.

“Mendiang bapa, Robert Gallayan mengajar saya untuk bergaul dengan masyarakat sekeliling tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.

“Itu yang membuatkan langkah saya semakin panjang untuk sama-sama menyambut apa juga perayaan yang ada di Malaysia pada ketika itu,” ujarnya lagi.