Mempertaruhkan lagu berentak retro ciptaan Asfan Shah berjudul Semalam Sahaja, kumpulan berkenaan mengharap magis, tuah dan rezeki akan menyebelahi nasib mereka.

E1 yang turut dianggotai Zulyasrani dan Ariff Imran itu juga menjadi bukti kesungguhan dan kecintaan Ezuwan sendiri dalam merealisasikan impian dan kehendak hati.

Bagaimanapun, itu sebenarnya bukan isyarat yang kerjayanya sebagai pereka fesyen akan berkubur begitu saja.

Apatah lagi pernah bertebaran kononnya jualan borong dan lelongan murah di butiknya di Taman Dagang Januari lalu pernah dianggap kepada mengiyakan lagi yang jenama miliknya sudah mahu `gulung tikar’.

Tak kurang juga menyifatkan semua itu sebagai gimik untuk mempromosikan single terbaharu kumpulan tersebut.

Menurut Ezuwan yang turut dikenali sebagai Tukang Jahit Termahir Malaysia ini, apa yang dilakukan kini lebih kepada membuktikan kesungguhannya di pentas nyanyian.

Malah bapa kepada dua anak bernama Eisa Zhafran dan Eisa Zaquan ini, juga optimis menyatukan fesyen dan seni muzik menerusi kumpulan ini kerana sedar sejak sekian lama perihal berkenaan tidak dapat dipisahkan.

“Kalau dalam negara kita mahupun seantero dunia ini, mungkin tiada pereka fesyen yang bergelar penyanyi, jadi saya ingin menyahut cabaran itu. Saya anggap ini percubaan berkongsi sedikit bakat yang ada sekali gus mencipta sejarah peribadi ‘pereka fesyen jadi penyanyi’.

“Untuk tampil menyanyi solo itu mungkin sesuatu yang saya sendiri gentar, lalu bersama dua teman seperjuangan iaitu Zulyasrani dan Ariff, saya rasa lebih kebal,” kata Ezuwan.

Katanya, minatnya dalam dunia nyanyian bermula sejak di bangku sekolah lagi namun tidak pernah mempunyai keberanian untuk menyertai pertandingan kerana kurang keyakinan.

“Alhamdulillah, selepas 37 tahun apa yang dicita-cita akhirnya menjadi kenyataan,” kata Ezuwan sambil memberitahu E1 sudah mula merekod lagu baru untuk kedatangan Syawal ini.

Kata Ezuwan atau nama penuhnya, Mohd Ezuwan Ismail dulu dia tidak pernah melihat ada saluran dan bantuan tepat yang boleh membantunya bergelar penyanyi.

“Dulu pun saya tak pasti sama ada suara ini sedap atau tidak sebab belum diberi peluang membuktikannya. Pelbagai rasa bermain dalam diri namun saya lawan segala perasaan itu. Hasrat saya nak menyanyi dan menubuhkan kumpulan itu menjadi berkobar-kobar sejak Oktober tahun lalu.

“Saya manfaatkan hubungan baik dengan rakan industri seni yang selama ini menyokong jenama Ezuwan Ismail untuk mendekatkan lagi jarak serta minat untuk babit secara serius dalam muzik,” kata Ezuwan

Tambah Ezuwan lagi, dia berharap kembara seninya yang baharu bermula ini akan terus menjadi batu loncatan untuk mengukuhkan jenama fesyen miliknya.

“Fesyen sudah menjadi cinta pertama saya yang tiada galang ganti. Jadi tak pernah terlintas langsung untuk saya ‘mengorbankan’ jenama Ezuwan Ismail kerana menceburi nyanyian.

“Kisah nak gulung tikar dalam kerjaya fesyen itu tidak benar sama sekali. Malah ada juga yang menyuruh membuat cerita kononnya nak tutup butik itu sebagai gimik mempromosikan single nyanyian E1.

“Selepas difikirkan saya anggap gimik sebegitu terlalu murah. Saya mahu terus kembangkan jenama fesyen menerusi platform nyanyian pula.

“Saya anggap ini strategi serampang dua mata kerana kumpulan E1 juga selesa memakai koleksi rekaan saya sendiri dalam setiap promosi atau acara yang dihadiri,” jelasnya.