Sementelah ketika itu abang dan kakaknya sedang menuntut di luar negara selain sibuk dengan urusan rumah tangga masing-masing.

“Apa saja barang yang berada depan mata saya semasa kecil, saya boleh berimaginasi dengan menukar barangan tersebut menjadi benda lain sekelip mata.

“Contohnya berus kain, saya boleh membayangkan berus itu menjadi kereta mainan. Itu belum lagi dengan perhiasan ibu, Che Jah Che Mat yang ada di rumah, semuanya saya ‘tukar’.

“Zaman dulu, ibu bapa tidak mahu melayan permintaan anak-anak yang mahukan mainan di kedai. Kalau dapat pun, mesti ada sebab misalnya belajar pandai atau hadiah hari jadi.

“Nak bermain punya fasal, saya kenalah kreatif. Kena set dalam kepala barang tertentu dan ‘menukarkannya’ ke barang lain. Memang seronok,” cerita Pekin.

Menurut Pekin, dia juga memastikan dirinya tidak bermain ‘permainan’ yang sama saban hari kerana membosankan Jadi Pekin merujuk permainan yang sedang dimainkan dengan beberapa siri kartun kanak-kanak popular yang ditayangkan di televisyen ketika itu.

Animasi adi wira Jepun, Satria Perkasa Hitam atau Gaban dan Ultraman adalah antara siri yang dinanti-nantikan Pekin setiap hari.

Kecenderungan Pekin mengikuti rancangan itu juga menyebabkan dia boleh ‘menukar’ dirinya kepada watak-watak animasi yang diminati dengan sekelip mata.

“Semasa kecil, arwah bapa tak bagi saya keluar rumah tanpa sebab. Dia hanya bagi saya bermain di luar dari pukul 5 petang dan perlu pulang sebelum Maghrib.

“Sebab itulah saya suka reka ruangan permainan saya dalam rumah. Ada sudut-sudut tertentu yang menempatkan ‘barangan’ dan ‘orang-orang’ saya.

“Ketika zaman saya kecil juga popular cerita orang kenit macam Alice In Wonderland. Jadi saya pun nak jadi orang kenit. Itu yang saya suka duduk di bawah meja dan katil.

“Konon-konon nak bersembunyi daripada orang dewasa semata-mata bermain dengan ‘orang kenit’,” kata Pekin mengimbau kenangan.

Bintang filem

Pekin memulakan kerjaya dalam industri perfileman sebagai pelakon pembantu dalam filem pertamanya, Di Ambang Misteri arahan Silver Chung pada 2004.

Selepas itu, Pekin berpeluang berlakon dalam filem Cinta Terakhir, Skrip 7707, Hantu Kak Limah Balik Rumah sebelum Bunohan yang menaikkan namanya dalam industri perfileman tempatan.

Pekin juga pernah berlakon dalam filem Rock Ooo dan Rock Bro, Apokalips X, Coverina dan beberapa naskhah lain sebelum menambah satu lagi profesion peribadi bertindak sebagai pengarah untuk filem Mat Moto dan Volkswagen Kuning pada tahun ini.

Terkini, Pekin baru saja selesai mengarahkan filem terbitan syarikatnya sendiri, Centro Pictures Sdn. Bhd. berjudul KL Wangan. Filem itu bakal ditayangkan pertengahan tahun depan.

“Saya memilih untuk berkarya di layar perak kerana mahu kepuasan diri dan memberi kelainan kepada penonton berbanding terikat dengan komitmen drama televisyen.

“Banyak yang saya pelajari sebagai pekerja di belakang tabir beberapa syarikat produksi sebelum ini. Pelbagai kerja saya lakukan - daripada seorang runner, pembuat kopi dan macam-macam lagi.

“Semua itu menjadi rencah kepada setiap karya yang saya hasilkan kerana saya pernah mengalami zaman kesusahan bekerja di belakang tabir untuk syarikat produksi tempatan.

“Jadi mana mungkin saya tidak menghargai setiap titik peluh mereka yang banyak membantu dalam memastikan semua kerja berjalan lancar,” kata Pekin yang pernah menjadi anggota kumpulan B-Boys sebelum ini.

Pekin juga mengakui, tidak akan melupakan semua kebaikan dan jasa individu-individu dalam industri kepadanya terutama ketika berada dalam kesusahan satu ketika dulu.

Jauh sekali mahu bermegah-megah dengan kelebihan yang ada pada dirinya, Pekin menegaskan dia selesa mengikut rasmi padi makin berisi makin tunduk ke bumi.

Amanah

Anak bongsu daripada enam beradik ini juga dilihat suka bersendirian melayan perasan terutama selepas arwah bapa, Ibrahim Awang meninggal dunia akibat serangan jantung sewaktu dia berusia 10 tahun.

Memandangkan hubungan dua beranak itu sangat rapat, kehilangan arwah bapa memberi tamparan hebat dalam hidup Pekin kerana lelaki itulah adalah tempat dia bermanja.

Tidak dinafikan, kematian bapanya ketika Pekin memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada lelaki itu sedikit mengubah jiwa remajanya menjadi seorang yang memberontak.

Dek terikut-ikut budaya luar dan pengaruh rakan-rakan yang meminati muzik juga Pekin kemudiannya memutuskan untuk tidak meneruskan persekolahan di Maktab Pengajian Islam Kota Bharu ketika usianya 15 tahun.

Sedangkan sebelum arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir, dia telah berpesan kepada Pekin untuk meneruskan persekolahan di sekolah persendirian yang menerapkan pendidikan agama dan menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantara harian itu.

Keputusan Pekin berhenti sekolah di situ juga ditentang ibunya yang mahu pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-28 menerusi filem Mat Motor ini berpegang teguh kepada amanah arwah bapanya.

“Saya dimarahi teruk oleh ibu sebab memandai-mandai nak berhenti Maktab Pengajian Islam. Puas dia membebel sebab saya nak tukar sekolah menengah biasa. Sedangkan saya pun tahu, pertukaran ke sekolah biasa hanya menyusahkan kerana saya perlu menduduki semula Tingkatan Satu walhal saya sudah tingkatan tiga waktu itu.

“Memang jiwa muda saya sedang membara, memberontak dan saya betul-betul nak tukar ke sekolah biasa tapi saya juga tak mahu turun kelas ke Tingkatan Satu,” kata Pekin yang kemudiannya melakukan ‘kerja gila’ berhijrah ke Kuala Lumpur ketika berusia 15 tahun.

Dengan duit sebanyak RM50 yang diminta daripada ibunya dengan alasan untuk makan angin ke ibu kota, Pekin nekad meninggalkan kampung halaman dan menyimpan impian menjadi artis biarpun perkara itu sangat mustahil ketika itu.

Bermulalah episod baharu dalam kehidupan Pekin kerana itulah pertama kali dia berdikari dan demi survival, dia melakukan pelbagai kerja. Kerja pertama ialah di sebuah restoran makanan segera di Petaling Jaya, Selangor.

“Saya bertuah kerana ditemani Danny (anggota kumpulan X-Factor) yang turut sama ke Kuala Lumpur. Macam-macam kesusahan yang pernah kami lalui bersama-sama. Daripada tak ada duit, berjalan kaki ke tempat kerja sebab tertinggal bas dan pelbagai lagi kejadian yang menjadi pengalaman baharu buat saya sebagai warga kota,” ujarnya.

Dalam tempoh bekerja di restoran tersebut, Pekin turut mengintai peluang pekerjaan lain termasuk menghadiri beberapa uji bakat untuk drama dan filem. - Foto IHSAN PEKIN IBRAHIM