Mengakui dia sebenarnya seorang yang takut dengan haiwan namun perasaannya sedikit teruja apabila berhadapan dengan haiwan yang satu ini.

“Masa mula-mula ikut kawan dulu, saya ada juga cuba naik kuda. Tapi rasa seronok pula. Ia merupakan pengalaman yang baru bagi saya masa tu. Bila pulang sahaja ke rumah terus rasa tak sabar pergi lagi.

“Saya masih ingat lagi, keesokan harinya saya pergi semula ke Ladang Kuda Alam Warisan, Kuala Pilah dan masa tu juga saya ambil keputusan untuk mendaftar sebagai ahli dan terus aktif dalam aktiviti berkuda," katanya.

Turut mempunyai juru latih peribadi untuk aktiviti ini, Sharmila ingin menjadikan minatnya itu bukan sahaja sekadar hobi ketika masa lapang bahkan ingin bergiat aktif dalam aktiviti tersebut.

“Jurulatih bukan sahaja mengajar saya menunggang kuda bahkan turut memberi pendedahan tentang selok belok penjagaan kuda dan segala ilmu tentang haiwan ini.

“Mungkin orang lihat aktiviti ini nampak santai, tapi sebelum saya menunggang kuda, saya perlu mempersiapkan ia terlebih dahulu.

“Keluarkan ia dari kandang, bersihkan peralatan, sikat rambut dan bulunya agar ia kemas dan selesa dengan diri sendiri,” ujarnya.

Memandangkan jadual yang padat dengan aktiviti seni, dia sebolehnya akan memperuntukkan sekurang-kurangnya lima sesi pada setiap minggu.

“Kalau sibuk sangat saya biasanya akan ke Equestrian Park, Putrajaya sahaja tapi jika ada masa yang agak panjang saya akan ke ladang kuda di Kuala Pilah.

“Sebenarnya menunggang kuda ini adalah salah satu terapi untuk tubuh. Semua anggota tubuh akan bergerak semasa berada di atas kuda yang mana akan memberi tahap kesihatan yang baik kepada tubuh. Selain itu, ia juga turut membantu membentuk postur tubuh,” ujarnya.

Ramai yang sedia maklum aktiviti berkuda ini sinonim dengan golongan berada, tapi bagi dirinya menyertai aktiviti ini bukanlah sekadar untuk menunjuk tetapi kepuasan yang dirasai itu tidak ternilai dari wang ringgit yang dilaburkan.

“Saya memperuntukkan hampir RM1,000 setiap minggu untuk aktiviti menunggang kuda dan selama setahun melakukannya saya dapat lihat banyak perubahan pada diri saya.

“Memang pada permulaan kita akan rasa sakit-sakit badan sama seperti aktiviti lain tapi bila dah biasa itu bukanlah satu masalah yang besar. Paling penting tubuh saya rasa lebih fit dan berat badan juga tak mudah naik.

Idam kuda berwarna putih

Dalam masa terdekat, pelakon yang pernah popular dengan drama Tari Tirana ini berhasrat untuk memiliki seekor kuda sendiri.

Namun semuanya masih dalam proses mengenalpasti kuda yang sesuai. Pun begitu dia berharap agar dapat memilikinya secepat mungkin memandangkan dia kini aktif dalam dunia berkuda.

“Sekarang saya hanya menunggang kuda yang disediakan walau bagaimanapun dalam tahun ini Insya Allah saya akan mempunyai kuda sendiri.

“Dulu sebelum aktif dengan dunia ini, saya selalu berangan untuk mempunyai seekor kuda berwarna putih sama seperti dalam cerita dongeng masa kecil dahulu.

“Tapi sekarang baru saya tahu pemilihan kuda ni bukan semudah yang disangka. Kita perlu melihatnya dari segi tinggi, postur badan dan tahap kesihatannya,” tuturnya yang mengatakan harga kuda mampu milik adalah sekitar RM1,000 hingga RM10,000 bergantung pada jenis kuda.

Sempat berkongsi nasihat kepada mereka di luar sana yang teringin mencuba aktiviti berkuda, jangan sesekali berasa takut-takut untuk mendekati haiwan ini kerana ia dapat membaca gerak geri orang di sekelilingnya.

“Jurulatih saya pesan, kalau kita takut dan menjerit, kuda akan terperanjat lebih lagi daripada kita. Waktu itu ia akan bertindak ganas dan kita mungkin akan tercedera.

“Sebenarnya kuda ini merupakan haiwan yang manja sama seperti kucing. Kita sendiri mesti pandai berhadapan dengannya dengan cara membelai-belai badannya,” ujar wanita berusia 35 tahun ini.

Aktiviti memanah berkuda

Memandangkan dirinya sudah semakin arif aktiviti berkuda ini, maka dia kini sedang giat mengikuti aktiviti memanah berkuda pula.

“Sebelum serius dengan menunggang kuda, saya juga sering mengikuti kelas memanah. Jadi secara tak langsung saya tahu serba sedikit berkenaan aktiviti ini.

“Tambah pula jurulatih saya pula merupakan salah seorang atlit dalam sukan memanah berkuda. Jadi dia sering menggesa saya untuk mencuba aktiviti yang lebih ekstrem pula.

“Sebenarnya kalau nak diikutkan, aktiviti memanah sambil berkuda ini lebih mencabar dari menunggang kuda sahaja. Agak sukar sebenarnya melakukan dua kerja dalam satu-satu masa iaitu memanah sambil menunggang kuda.

“Kita perlu mengawal kuda dan dalam masa yang sama juga perlu memanah dengan tepat. Masa mula buat aktiviti ini, saya dah mengaku kalah sebab saya fobia kerana pernah terjatuh dari kuda,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sepanjang mengikuti latihan memanah berkuda tersebut dia dapat melihat ramai golongan wanita yang turut serta dan aktif dalam sukan ini.

“Tak sangka ramai wanita yang memilih sukan ini. Tubuh mereka kelihatan kecil tapi kemahiran mereka dalam aktiviti ini sangat mengagumkan. Itu yang membuatkan semangat saya semakin bertambah lagi.

“Paling menyeronokkan, mereka yang berpengalaman tidak lokek berkongsi ilmu dengan saya. Malah mereka juga sering memberi tunjuk ajar dan tip-tip yang bagus untuk bergelar pemanah berkuda yang hebat.

“Lagi pula, kita semua tahu aktiviti memanah berkuda ini merupakan salah satu aktiviti sunah Nabi Muhammad SAW jadi saya rasa sangat teruja dapat melakukan satu hobi yang mendatangkan banyak kebaikan buat diri sendiri,” tuturnya yang pernah memenangi Anugerah Shine Pantene pada Anugerah Skrin 2008.