Kepercayaan terhadap amalan khurafat misalnya masih tebal dalam kalangan orang Melayu termasuk mempercayai bomoh atau dukun.

Naskhah ‘lama’ yang akhirnya dibawa ke panggung mulai semalam, Dukun barangkali akan memberi pemahaman yang jelas terhadap kegemaran segelintir orang kita yang begitu taksub dan percaya kepada ‘kuasa’ seorang dukun.

Hampir 12 tahun lamanya Dukun diperkata oleh pencinta filem Melayu, perdebatan mengenai filem arahan sutradara ternama, Dain Said menjadi topik yang cukup panas selama tempoh itu.

Ada yang mendakwa Dukun diterbitkan berdasarkan kes pembunuhan kontroversi melibatkan seorang tokoh berprofil tinggi negara sekitar lebih dua dekad lalu.

Tidak kurang, ada pula karyawan filem yang tumpang semangkuk dengan membidas Dukun sarat dengan elemen tahyul dan tidak sesuai untuk tontonan.

Persoalannya, yang membidas dan mengkritik sesuka hati itu belum berkesempatan menontonnya kerana Dukun hanya baru ditayangkan semalam.

Kalau ada sekalipun, hanya sejumlah kecil netizen yang berpeluang menonton di laman sosial kerana ada pihak tidak bertanggungjawab yang ‘menayangkan’ secara haram.

Biar apa pun pandangan yang disuarakan, hakikatnya, Dukun terbitan Astro Shaw menerima maklum balas masyarakat dengan penuh terbuka kerana setidak-tidaknya perbualan ramai itu boleh menjadi sebahagian daripada pemasaran naskhah hebat itu.

Sebaik Dukun rasmi ditayangkan di pawagam seluruh negara, penerbitnya, Najwa Abu Bakar boleh menarik nafas lega kerana tidak ‘berhutang’ sebarang penjelasan lagi kepada orang ramai.

Namun satu hal yang mahu dikongsi beliau ialah selama 12 tahun ‘terperap’, Dukun tidak berhadapan dengan sebarang masalah apa lagi diharamkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk tontonan umum seperti yang digembar-gemburkan.

Sebaliknya, menurut Najwa, pihaknya sekadar menangguhkan tayangan filem tersebut kerana mencari waktu yang benar-benar sesuai.

“Ini semua adalah strategi pemasaran kami. LPF tidak pernah mengharamkan Dukun untuk dipertonton kepada rakyat Malaysia. Semua itu sekadar andaian rambang orang ramai apabila mendapati filem ini tidak ditayangkan mengikut jadual seperti dirancangkan dahulu iaitu pada 2007.

“Sebaik Dukun siap dibikin pada hujung 2006, salinannya telah diserahkan kepada LPF untuk penilaian. Kemudiannya LPF memutuskan untuk memotong lima babak sahaja dan memberi lampu hijau dengan label ‘lulus dan lepas’ bawah klasifikasi P13,” jelasnya kepada para wartawan selepas majlis pratonton dengan media di ibu negara kelmarin.

Keputusan LPF memotong lima babak dalam Dukun, jelas Najwa adalah kerana melibatkan aksi ganas serta tahyul.

Dukun merupakan sebuah karya fiksyen yang mengisahkan seorang dukun, Diana Dahlan yang didakwa di mahkamah kerana membunuh seorang ahli perniagaan, Datuk Jeffri Jailani.

Kehebatan Diana sebagai seorang pengamal ilmu hitam telah mempengaruhi Jeffri untuk mendapatkan khidmatnya bagi membantu memperoleh kekayaan dan kuasa.

Penceritaan Dukun bertambah dramatik apabila peguam bernama Karim yang memikul tanggungjawab membela Diana di mahkamah turut menjadi mangsa kejahatan wanita tersebut.

Anak Karim, Nadia rupa-rupanya antara mangsa Diana.

Skrip Dukun yang ditulis oleh Huzir Sulaiman menampilkan nama-nama besar dalam industri filem iaitu Datin Umie Aida sebagai Diana, Faizal Hussein (Karim), Adlin Aman Ramlie (Datuk Jeffri), Elyana (Nadia), Nam Ron (ASP Talib), Nadiya Nisaa, Mislina Mustaffa dan Bront Palarae.

Ular jadi teman Umie Aida

PENERAJU utama yang membawakan watak Diana Dahlan, Umie Aida, 44, mendedahkan bagaimana dia terpaksa bersahabat dengan seekor ular selama dua bulan demi menghidupkan karakter seorang dukun.

Menurut Umie, dia perlu berbuat demikian bagi membuang rasa geli selain mengajarnya untuk fokus dalam menjiwai watak sepanjang penggambaran dilakukan.

“Secara jujurnya, ular adalah binatang paling menggelikan saya. Tetapi untuk mendapat rujukan terbaik mendukung watak Diana yang digambarkan seorang penggoda, ular memiliki ciri-ciri itu terutama dari sudut pergerakannya,” tegas Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2002 itu.

Mengulas andaian liar yang mengaitkan watak Diana dengan seorang bomoh popular, pelakon itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Semua orang ada hak menyuarakan pendapat mereka. Tiada kuasa untuk saya menghalang atau mengawalnya,” jawabnya ringkas.

Dalam pada itu, Umie juga berkongsi pengalamannya menjayakan babak pelaksanaan hukuman gantung sampai mati.

Katanya, ketika cuba menyelami perasaan banduan yang menunggu detik akhir ke tali gantung, tiba-tiba badan menggigil.

“Disebabkan itu, saya terpaksa tinggalkan sel tahanan menuju ke kawasan parkir untuk bertenang,” ceritanya.

Elyana pikul dua watak

ELYANA hanya berusia 19 tahun ketika menjalani penggambaran filem Dukun.

Kini, pada usia 31 tahun, artis popular itu mengakui, dia sangat gelisah dan gementar sebaik mengetahui Dukun, filem kedua lakonannya selepas Gong akhirnya ditayangkan.

Sebelum ini, ketika dimaklumkan Dukun terpaksa ditunda tayangannya, penyanyi itu akur dengan keputusan penerbit meskipun berasa kecewa.

“Selepas lebih tujuh tahun, sejujurnya saya sudah tidak letak harapan untuk menontonnya. Jadi, apabila diberitahu Dukun bakal ditayangkan, memang gembira tak terkata.

“Namun perasaan itu bertukar menjadi tidak keruan apabila semakin dekat dengan hari tayangan. Gelisah dan gementar menantikan respons umum kerana filem ini ‘besar’.

“Apatah lagi, saya memikul peranan dua watak penting sebagai Nadia dan juga Diana,” katanya dalam nada sangat teruja.

Mendukung watak Nadia, bagi Elyana dia tidak berhadapan sebarang masalah besar, namun watak Diana mendatangkan kerisauan berganda.

“Jasad Nadia telah dirasuki Diana ketika dukun itu ditahan dalam penjara. Jadi, saya harus teliti dan memberi perhatian terhadap bahasa tubuh Diana ketika berada pada tangan Kak Umie.

“Itu semua perlu dilakukan agar karakter Diana yang saya bawakan sama dengan pembawaan Kak Umie,” jelasnya yang begitu mengagumi lakonan Umie Aida.

Bagaimanapun, pertama kali menonton lakonan sendiri menerusi Dukun, penyanyi lagu Kalis Rindu berkenaan berasa amat lega meskipun pada waktu itu dia baru sahaja berjinak-jinak sebagai pelakon.

Tonton dulu, baru nilai - Dain

Sutradara Dain yang pernah menghasilkan filem Bunohan dan Interchange enggan naskhahnya itu terus dikaitkan dengan kes pembunuhan berprofil tinggi yang menggemparkan negara suatu ketika dahulu.

Menurutnya, penghasilan Dukun tidak patut dikaitkan dengan sebarang isu kerana hakikatnya, plot cerita sesebuah skrip lazimnya diinspirasikan daripada sesuatu peristiwa atau kisah yang berlaku di persekitaran pemilik idea asal.

“Jadi, tidak timbul sebarang kontroversi kerana skrip yang dihasilkan adalah fiksyen atau cereka yang diadun imaginasi kreatif penulis lakon layar.

Disebabkan itu, Dukun adalah kisah inspirasi, bukannya adaptasi,” tegasnya menetapkan pendirian.

Secara ringkas, kongsi Dain, sinopsis Dukun adalah berkisar hidup seorang peguam yang kehilangan isteri dan anak perempuannya.

“Enggan berputus asa, peguam tersebut mencuba pelbagai kaedah demi mencari kedua-dua ahli keluarganya itu termasuk menggunakan khidmat dukun.

“Banyak pengajaran dan iktibar yang boleh diperoleh menerusi filem ini.

“Tidak ada kena mengena dengan sesiapa,” jelasnya mempertahan karya yang dihasilkan dengan kos pembikinan RM2.8 juta pada 2006 itu.

Justeru, Dain berharap Dukun mendapat sokongan padu rakyat negara ini memandangkan pada tahun lalu, hanya tiga peratus filem tempatan sahaja boleh dikatakan berjaya mencatat kutipan pecah panggung.