Umie Aida berkata, dia tidak mahu meletakkan harapan tinggi sebaliknya berdoa dan berserah kepada Tuhan supaya filem tersebut mendapat sambutan daripada peminat filem di republik itu.

“Alhamdulillah, akhirnya kita bertemu juga Indonesia. Terima kasih kerana memberi peluang kepada filem Malaysia untuk ditayangkan di sana. Harapan saya supaya Dukun berjaya sama seperti kejayaannya di sini.

“Tentang kutipan, kita serahkan kepada rezeki. Memang saya gementar malah ketika ditayangkan di New York pun, perasaan saya sama gementar. Alhamdulillah, penerimaan mereka sungguh baik,” katanya kepada Utusan Online.

Selepas berjaya dengan kutipan pecah panggung dengan jumlah RM11 juta di Malaysia, Brunei dan Singapura, naskhah terbitan Astro Shaw itu bakal ditayangkan di 33 pawagam di bandar-bandar utama Indonesia seperti Jakarta, Bandung, Semarang, Makassar, Bali, Pekanbaru dan Batam.

Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar pula mengharapkan filem tersebut diterima sebaik mungkin seperti sambutan yang diterima di Singapura dan Brunei.

“Ini merupakan kali pertama filem Malaysia dapat ditayangkan di panggung sebanyak itu di sana. Berdasarkan maklum balas dalam laman media sosial, penduduk di sana amat menanti-nantikan penayangan filem tersebut.

“Justeru, Dukun diharap menjadi penanda aras terbaik untuk karya tempatan yang diberi peluang ditayangkan di sana,” ulasnya. - UTUSAN ONLINE