Menurut ibu kepada dua orang anak autism ini, dia pernah mengeluarkan semua duitnya dan menjadikan rumahnya sebagai sumber pendapatan dengan menyewakan kepada pihak produksi.

“Ketika itu memang tawaran lakonan tiada dan keluarga mempunyai masalah kewangan. Macam-macam yang dilakukan sehinggalah saya terfikir untuk berniaga pulut kuning.

“Alhamdulillah, bila saya buat pulut kuning, sambutan yang diterima sangat baik dan membuka pintu rezeki baharu buat saya.

“Hasil jualan pulut kuning juga saya dapat mengumpul kembali simpanan untuk kedua-dua anak dan membeli apa yang patut,” jelasnya.

Terdahulu, Zarina ditemui di majlis pelantikan ikon Variation Zone Festival 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Zarina dilantik menjadi ikon festival yang bakal berlangsung pada 13 Disember hingga 17 Disember depan di The Strand, Kota Damansara.

Menurut Zarina, dia berbangga kerana dilantik menjadi ikon festival itu yang memberi peluang kepada golongan wanita untuk berniaga sepertinya.

“Saya pernah melalui fasa kejatuhan dalam hidup saya dan kini tiba masa untuk saya membantu. Peluang sebegini yang perlu diambil untuk menambah pendapatan dengan berniaga,” jelasnya.

Variation Zone Festival yang dianjurkan oleh Wyn Wyn Event Sdn. Bhd. itu membuka peluang kepada peniaga dan pengunjung untuk menjual serti membeli pelbagai produk makanan daripada 150 buah booth yang disediakan. - UTUSAN ONLINE