Dua hari sebelum melangsungkan majlis pertunangannya dengan Siti Nurja’a, 24, tiba-tiba video lucah yang kononnya miliknya tersebar dalam laman sosial.

Menafikan perkara tersebut, kepada Mega HITS, Ameer memberitahu, dia reda dengan kenyataan yang dia kini menjadi salah seorang mangsa buli siber.

MEGA HITS : Apa yang boleh Ameer kongsikan mengenai pelaku video lucah itu yang dikatakan mirip wajah Ameer?

Ameer : Sebenarnya saya juga baru tahu mengenai hal ini apabila diberitahu oleh pihak media. Memang terkejut. Yang boleh saya katakan, orang itu bukan diri saya dan sebagai seorang yang waras, saya tidak akan sesekali melakukan perkara seumpama itu.

Adakah pihak Ameer akan membuat laporan polis berhubung kejadian ini?

Jika perkara ini berlarutan dan menjejaskan nama serta karier saya. Ya, saya akan mengambil tindakan mengikut saluran yang sepatutnya termasuk membuat laporan polis.

Kejadian ini bukan perkara baharu dalam industri. Sebelum Ameer, kita sudah banyak dikejutkan dengan kisah yang sama melibatkan beberapa artis lelaki lain. Apakah Ameer pernah menjangkakan perkara sebegini akan berlaku kepada diri anda?

Saya tidak pernah jangka akan mengalami nasib yang sama seperti yang berlaku kepada beberapa artis sebelum ini. Bagaimanapun apabila melalui perkara seperti ini, apa yang boleh saya katakan adalah saya reda dan anggap ini dugaan yang perlu saya lalui.

Memang perkara seumpama ini mengejutkan, namun yang menguatkan saya tentunya kepercayaan orang di sekeliling saya yang lebih mengenali siapa Ameer yang sebenar.

Ameer juga sudah mengikat tali pertunangan pada Sabtu lalu, jadi apa kata tunang mengenai hal ini?

Sama seperti saya, dia juga baru mengetahui hal ini. Bagaimanapun saya yakin dia seorang yang kuat dan memahami perkara yang sedang saya lalui ini.

Selepas setahun mengenali dirinya, antara sebab saya terpikat dengannya juga adalah kerana sikapnya yang sentiasa memberi sokongan terhadap saya.

Tentu sekali sukar mencari dalang perbuatan ini tetapi pada pihak Ameer sendiri, bagaimana? Adakah yang boleh membantu dalam menyelesaikan perkara ini?

Saya tidak boleh agak siapa yang melakukannya sebab saya memang tidak mempunyai musuh selama ini. Sebab selama saya mengenali orang rasanya tidak ada yang mahu menjatuhkan saya. Jadi saya tidak boleh memikirkan langsung siapa yang melakukannya.

Pada masa sama ada juga pihak yang beranggapan kontroversi ini mungkin sengaja dicetuskan dalam usaha untuk membantu populariti Forteen yang kini menjadi peserta dalam Gegar Vaganza musim kelima. Komen?

Saya tidak pernah terfikir mengenai hal seperti ini. Sejujurnya kami tidak pernah dan tidak akan mahu menggunakan kontroversi hanya semata-mata untuk membantu menaikkan nama kumpulan kami. Lagipun untuk popular dengan jalan pintas begini bukan sesuatu yang akan kami lakukan. Dalam soal ini kami lebih percaya kepada rezeki dan kualiti kerja.