Tidak apa lagi yang harus dikenangkan, tiada apa lagi yang boleh disesalkan. Kehidupan perlu diteruskan sementelah masih banyak misi hidup lain yang perlu diteruskan.

“Saya anggap ini merupakan tahun untuk kembali mengenal diri dan memperbaiki semua kesilapan. Tiada manusia yang sempurna hidup tanpa melakukan kesalahan.

“Jadi apa sahaja yang berlaku adalah pengajaran yang paling berharga buat diri ini. Jika orang lain menganggap ia adalah ‘bala’, saya pula anggap ia pelajaran paling berharga,” katanya bercerita tentang perceraian yang tidak dipinta.

Bernikah dengan Bella Daly pada 2016, pasangan ini akhirnya berpisah pada bulan Mei lalu.

Bagi Nazim menggalas gelaran sebagai duda bukanlah satu hal yang perlu dikesalkan. Sebaliknya, banyak mengajarnya erti sebuah kehidupan dan bagaimana untuk berhadapan dengan masalah sulit.

Meskipun ada pandangan skeptikal yang masih memper­katakan tentang hal itu dan membuat tanggapan nakal, dia tidak mempedulikan kata-kata tersebut.

“Saya tidak pernah menganggap setiap peristiwa buruk yang berlaku sebagai balasan. Sebaliknya, ini adalah kasih sayang daripada Tuhan.

“Dengan adanya ujian dan pelbagai masalah yang perlu diselesaikan, bukankah itu mematangkan hidup? Cuma sebagai manusia ruang dan peluang itu sentiasa ada dan jangan sesekali mensia-siakannya,” tambahnya.

Bawa diri

SALAH satu terapi terbaik Nazim pada ketika dia sedang berhadapan dengan tekanan adalah melancong. Justeru, hampir setiap bulan, dia akan menghabiskan masa terbang ke luar negara bagi menikmati keindahan alam di negara orang.

Baru pulang dari Sri Lanka minggu lalu, ada perkara menarik yang ingin dikongsi pelakon ini. Destinasi tersebut agak asing bagi kebanyakan rakyat Malaysia namun mempunyai khazanah yang sangat menarik untuk diterokai.

Dari Colombo dia memilih Resort Wild Coast Tented Lodge yang ter­letak dalam kawasan Taman Negara Yala. Menariknya, resort dalam taman safari yang menempatkan ratusan haiwan berkeliaran bebas yang menarik perhatian.

“Dahulu semasa bekerja sebagai pramugara memang saya pernah ke sini tetapi tidaklah meneroka tempat-tempat menarik. Jadi kali ini saya memilih untuk bermalam di lokasi yang ekstrem.

“Pernah ada pelancong tidur bertemankan gajah yang berada di hadapan pintu resort mereka. Ini sesuatu yang menarik dan mendekatkan diri dengan alam sekitar,” tambahnya yang sedang merancang untuk ke Madagascar sedikit masa lagi.

Mengikut hasil carian di Internet, harga untuk bermalam di situ ber­mula RM4,000. Selain menghabiskan masa di situ, Nazim juga mengembara ke seluruh pelosok taman negara dengan diiringi oleh renjer bertugas memandangkan kawasan tersebut dilin­dungi sepe­nuhnya.

Selesai masalah

Melihatkan kehidupan peribadinya selepas episod perpisahan, bagaikan tiada apa-apa berlaku kepadanya. Nazim dilihat kuat dan bersemangat mengharungi segala-galanya.

Namun tiada siapa yang dapat menebak apa yang berada di dalam hatinya. Sebagai orang yang pernah bergelumang dengan masalah rumah tangga, ada pesanan yang ingin diberikan.

“Sebenarnya saya bukanlah orang yang layak memberikan nasihat. Namun mungkin kisah saya boleh dijadikan pengajaran kepada mereka yang berhadapan dengan masalah yang sama.

“Apa-apa terjadi, selesaikan masalah anda sebaik mungkin. Jika perlu mengambil masa yang lama, ambil! Mungkin dengan hal-hal begitu akan dapat menyelamatkan rumah tangga, siapa yang tahu?

“Ambil nasihat orang sekeliling juga, itu penting. Bagi saya pandangan mereka amat perlu untuk menimbang tara keputusan mendatang. Kalau ikut amarah, jangan sesal di kemudian hari,” tambahnya.

Pun begitu pelakon yang popular dengan drama Mona Lisa ini menganggap pengawalan emosi merupakan hal terpenting dalam berhadapan dengan sebarang krisis.

Fasa bertenang

LUMRAH hidup bersendirian, kacak dan ternama pula, pasti ada yang datang menghampiri. Nazim berkongsi kisah bagaimana dia berhadapan dengan beberapa peristiwa lucu apabila ada yang cuba menghampiri untuk dijadikan pasangan hidup.

Tak kurang juga yang mahu menjadikan dia sebagai menantu, semuanya ditepis secara baik tanpa menyakiti hati sesiapa.

“Sebenarnya ada yang cuba memperkenalkan saya kepada seseorang. Selain itu, ada berhajat menjadikan saya sebagai menantu. Tapi biarlah dahulu, ini bukan masa yang sesuai.

“Sejujurnya saya sendiri tidak lagi memikirkan tentang soal jodoh. Biarlah masa ini digunakan untuk membahagiakan diri sendiri dan keluarga, itu lebih penting,” tegasnya.

Mengakui masih menggunakan masa yang ada untuk merawat kelukaan hatinya, Nazim tahu setiap kali penceraian kebanyakan lelaki akan dipersalahkan.

Tidak pernah menyalahkan orang dengan persepsi tersebut, dia bersedia menghadapi situasi itu dengan tenang-tenang sahaja.