“Memang pada awalnya saya impikan untuk mempunyai tiga orang anak. Namun melihat kepada faktor umur saya dan suami, dua sahaja rasanya sudah mencukupi. Saya melihat ini yang sesuai dengan diri saya, dan tidak semestinya sesuai dengan orang lain.

“Noah juga sudah mencecah tiga tahun, memang dari awal lagi saya dan suami tidak mahu dia menjadi anak tunggal. Bukan apa, kalau apa-apa jadi kepada kami dia ada adik untuk berkongsi,” katanya pada majlis lenggeng perut baru-baru ini.

Enggan mendedahkan jantina anak keduanya, Yasmin atau nama sebenarnya Yasmin Hani Richardson, 37, berkata, kali ini ada yang berbeza dalam melalui hari-harinya sebagai seorang ibu mengandung.

“Saya sudah tahu jantinanya tetapi tidak mahu dedahkan buat masa ini. Tunggu sahaja beberapa minggu lagi.

“Apa yang berbeza mengenai kandungan kali ini, kalau dengan Noah saya tidak mengidam apa-apa dan cuma sakit di bahagian perut sahaja. Namun kali ini saya sangat suka mengunyah ais. Malah tidak kira waktu,” katanya.

Lebih santai dalam menerima orang baharu dalam keluarganya kali ini, kata Yasmin, dengan pengalaman lalu banyak membuatkan dia lebih bersedia. Malah aktiviti utama dia ketika ini juga mengeluarkan kembali baju anak sulungnya yang masih elok untuk diguna pakai semula.

“Jika dengan Noah dulu saya banyak membaca. Maklumlah, anak pertama memang itu yang akan dilalui oleh semua orang. Tapi kali ini tidak, ia lebih santai. Alhamdulillah perjalanan sepanjang mengandung ini sangat mudah tidak mengalami apa-apa masalah.

“Buat masa ini saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah, menguruskan Noah dan keluarga. Dalam masa yang sama turut membuat persediaan untuk kelahiran ini sebab saya tidak mahu buat semuanya pada saat-saat akhir,” tambahnya.

Noah teruja

Berkongsi cerita tentang anak sulungnya Noah yang sangat manja tetapi dalam masa yang sama teruja untuk mempunyai adik. Sepertinya Noah sudah memahami tanggungjawab sebagai seorang abang tidak lama lagi.

“Saya memang jelaskan kepada dia. Kalau ikutkan dia memang faham untuk menjadi seorang abang, sebabnya sering memeluk perut dan berkata beritahu sangat sayangkan adiknya.

“Malah dalam masa yang sama, saya biasakan diri Noah dengan menggelarkan diri sendiri sebagai abang. Cuma tidak tahulah bagaimana tahap pemahaman sebenar dia. Apa pun saya harap dapat uruskan mereka dengan baik selepas ini,” katanya.

Turut meraikan hari lahir anak sulungnya pada majlis yang sama, ketika ini Yasmin lebih senang menguruskan semuanya sendiri. Walaupun mempunyai seorang pembantu, dia tidak melihat menjadi keperluan untuk terlalu bergantung kepada orang lain.

“Mempunyai seorang anak kita sudah biasa, jadi bila mahu membayangkan dua anak saya tidak tahu bagaimana kehidupan saya kelak. Bagaimanapun saya akui mempunyai seorang pembantu banyak memudahkan kerja.

“Apabila memasak, saya lebih suka melakukannya sendiri. Melihat Noah semakin membesar kini menjadi tanggungjawab saya menyediakan semua itu sebagai seorang ibu. Saya juga mahu suatu hari nanti ada masakan saya sebagai ibu yang akan menjadi kegemarannya,” katanya.

Ditaja kala berpantang

Kalau sudah namanya selebriti, pasti kemudahan tajaan itu hadir dalam pelbagai bentuk. Kali ini Yasmin bertuah untuk merasai sendiri pengalaman dijaga di sebuah pusat berpantang Kimporo yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur.

“Saya akan berpantang di Kimporo. Memandangkan saya diberikan kemudahan sebuah bilik, suami dan anak akan berada bersama sepanjang waktu berpantang. Lebih kurang tiga minggu saya akan berada di pusat berkenaan.

“Kebebasan yang diberikan untuk memilih cara berpantang juga menyebabkan saya bersetuju untuk menerima tawaran ini,” katanya.

Masih menerima tawaran dalam bidang seni, fokus Yasmin tidak pernah lari. Namun dalam melalui hari-harinya kelak sewaktu berpantang Yasmin juga sudah bersedia untuk berkongsi minatnya dalam bidang lukisan. Malah ketika ini, dia juga sudah menyediakan sebuah laman Instagram khas buat peminat yang mahu melihat hasil karyanya.

“Ini memang antara minat, jadi saya mahu berkongsi dengan semua. Dalam masa yang sama juga saya melihat ini antara aktiviti utama yang boleh saya buat sepanjang tempoh berpantang kelak,” katanya. - Gambar Mohd. Farizwan Hasbullah