Bagaimanapun tidak mahu terlalu berada dalam kepompong itu, syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd., baru-baru ini mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya memasarkan drama Melayu pula ke pasaran negara Latin.

Malah antara yang menarik minat penonton antarabangsa adalah drama rantaian Memori Cinta Suraya yang kini masih ditayangkan di saluran Astro Prima. Selepas sebulan lebih berjaya ditayangkan di Malaysia, drama rantaian Memori Cinta Suraya karya Global Station Sdn Bhd yang ditayangkan di Astro Prima kini diterima baik di pasaran dunia.

Malah berkongsi rasa bangga, Datin Zaiton Mohd Jiwa, yang juga Ketua Pengarah Eksekutif Global Station di yang baru-baru ini ke Perhimpunan Kandungan Kreatif Dunia (MIPCOM) menjelaskan bagaimana pertemuannya dengan beberapa orang penting di MIPCOM yang baru-baru ini yang berlangsung di Cannes, Perancis berjaya meletakkan drama kita setanding drama antarabangsa yang lain.

“Saya amat teruja apabila drama Melayu kita berjaya diterima di negara-negara asing yang mempunyai industri hiburan yang amat kompetitif, menunjukkan produk kita mempunyai identiti dan tarikan tersendiri.

“Mungkin beberapa tahun lalu kita tidak nampak peluang ini, namun setelah melalui pelbagai kerjasama mereka sendiri yakin dengan kemampuan drama Melayu kita,” katanya.

Bercerita bagaimana kerjasama ini boleh terjadi, kata Zaiton semuanya bermula melalui hubungan baiknya dengan pihak syarikat televisyen terkemuka Amerika Latin, dan mereka sendiri mengakui kekuatan drama ini.

“Saya sudah mengenali mereka sejak beberapa tahun lalu, dan saya tahu MIPCOM sendiri adalah lokasi yang sesuai untuk menjual produk kita kepada mereka.

“Setakat ini mereka sudah tunjukkan minat yang positif, dan saya yakin selepas ini lebih banyak produk kita akan diterima mereka,” katanya.

Sementara itu Zaiton juga tidak ketinggalan untuk memberitahu, drama rantaian baharu bakal menggantikan Memori Cinta Suraya adalah Los Angeles No Lloran. Bakal memulakan penggambarannya awal tahun depan, drama adaptasi dari drama rantaian Argentina ini juga bakal melihatkan kerjasama antara produksi Malaysia dengan saluran tv Azteca dari Mexico.

“Drama rantaian dari Argentina yang bertajuk Los Angeles No Lloran ditayangkan pada tahun 1996 dan semenjak itu telah diadaptasikan oleh beberapa negara Latin Amerika, antaranya Mexico oleh tv Azteca pada 2010 yang mendapat sambutan hangat di banyak buah negara. Dan kami melihat potensi yang baik untuk drama itu mendapat sambutan melalui peminat di negara ini pula,” katanya.