DR. VIDA berazam mengejar cita-cita menjadi artis popular antarabangsa.

Bahkan, dalam nada penuh yakin, Dr. Vida memberitahu, beliau akan terus mengejar cita-citanya menjadi penyanyi terkenal setanding penghibur antarabangsa, Taylor Swift.

Menurut personaliti yang kini sedang mempromosikan single pertamanya, I Am Me, sekalipun sudah menjadi penyanyi, namun pencapaian sulung dalam gelanggang seni suara itu masih belum memberikan kepuasan kepadanya.

Justeru, jauh di sudut hati, Dr. Vida berkata, impian yang akan dikejar pada masa depan ialah meletakkan diri setanding selebriti ternama antarabangsa dalam bidang seni suara.

“Alhamdulillah, saya belum berpuas hati lagi terutamanya dalam bidang seni. Kalau boleh saya mahu nama saya sebaris dengan Taylor Swift, Meghan Trainor dan Katty Perry. Saya perlu bekerja keras lagi kerana saya adalah seorang yang bercita-cita besar,” kata Dr. Vida berkongsi cita-citanya kepada Utusan Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Dr. Vida sememangnya dikenali sebagai seorang wanita yang berjiwa besar serta begitu komited dalam setiap pekerjaan yang dilakukannya tanpa mempedulikan pandangan-pandangan negatif orang-orang di sekeliling.

Setiap kerja yang diusahakan Dr. Vida dilakukan dengan penuh kesungguhan kerana beliau menyedari kejayaan tidak akan datang bergolek, sebaliknya, hanya kerja keras akan memberikan hasilnya.

Selain lagu I Am Me yang sedang popular pada masa ini, Dr. Vida juga berkongsi kegembiraannya dengan kejayaan buku I Am Me: Rahsia Niaga DS Vida yang dilancarkan pada 9 September lalu sempena Pameran Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) di Jakarta, Indonesia mendapat sambutan menggalakkan.

Menurut beliau, buku yang mendedahkan rahsia kejayaannya sebelum menjadi terkenal menerusi iklan produknya yang tular pada 2015 itu sudah terjual sebanyak 3,000 naskhah.

“Alhamdulillah setakat ini, sambutan amat menggalakkan dan sebanyak 3,000 buah buku sudah terjual termasuk di Malaysia dan Indonesia. Saya memang ada perancangan untuk pergi ke Jakarta lagi untuk buat promosi buku dan sekali gus memperkenalkan lagu I Am Me.

“Saya juga mendendangkan lagu I Am Me di Kedutaan Malaysia di sana sempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini dan yang paling seronok saya dapat mengadakan persembahan satu pentas dengan Amy Search serta Datuk Rossa. Terasa diri seperti diva pula,” katanya sambil ketawa.

Dalam masa sama, Dr. Vida berkata, beliau turut merancang untuk menggandakan lagi promosi lagu I Am Me dan bukunya di Indonesia memandangkan jenama I Am Me dengan dirinya tidak dapat dipisahkan.

Kata Dr. Vida lagi, selain sibuk memberi tumpuan pada perniagaan, nyanyian dan buku, beliau juga tidak menang tangan menerima undangan sebagai motivator.

Kesempatan memberikan ceramah mengenai motivasi, jelasnya, turut digunakan untuk mempromosi buku dan lagu I Am Me.

“Sebenarnya sekarang ini saya sibuk membuat promosi. Kata orang serampang dua mata sebab bila turun padang saya akan promosi lagu dan buku. Antara lagu dan buku, orang lebih berminat untuk membeli buku kerana ia boleh memberi inspirasi kepada orang ramai supaya ambil intipati cerita untuk meningkatkan kemajuan diri masing-masing.

“Apapun saya bersyukur kerana lagu I Am Me juga dikenali di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia. Itulah kalau ada kesempatan saya nak buat promosi lagu ini di Kemboja dan Thailand pula,” kata Dr. Vida berkongsi cita-citanya.

Bercerita tentang lagu I Am Me yang menampilkan klip video menelan belanja kira-kira RM1 juta itu Dr. Vida berkata, untuk gerak tari yang ditonjolkan dalam lagu ciptaan Edry Kru itu, beliau lebih senang mengikut rentak sendiri.

“Saya jenis susah nak ikut rentak orang, sebab itu saya tidak ada koreografer. Apa yang saya tari itu datang daripada isi hati dan gerak tari itu juga menterjemahkan kata-kata dalam lirik lagu I Am Me,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kata Dr. Vida sebagai manusia biasa ada ketikanya dia mudah tersentuh dengan komen-komen pedas daripada netizen.

“Memang ada ketikanya saya tersentuh dengan komen-komen daripada netizen dan ketika itu mood saya akan berubah, sekejap okey dan kemudian bersedih balik. Setakat ini saya berjaya memujuk diri sendiri dan Alhamdulillah, saya kuat menempuh segala dugaan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE