Ada yang mendakwa sejak popular, penyanyi lagu Menahan Rindu itu dilihat semakin berani ‘memendekkan’ tudungnya.

Tidak mudah melatah dengan komen-komen netizen, Wany Hasrita yang kini sibuk ‘bersaing’ dalam program Fantastik 4 anjuran Hot FM berkata, perkara yang berlaku bukan kebiasaannya.

Jelas Wany Hasrita atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, foto yang tular menampilkan dia bergaya dengan baju-T adalah untuk jualan semata-mata.

“Saya tak salahkan netizen sebab itu hak mereka untuk bersuara. Dalam hal ini, saya salahkan diri sendiri kerana tidak tegas.

“Sebenarnya sesi foto itu untuk mempromosi perkataan yang terdapat pada baju-T. Kalau tudung itu labuh nanti tak nampak pula tulisan pada baju-T tersebut.

“Saya yang diberi tanggungjawab menggayakan baju-T itu perlu ikut kehendak jurugaya kerana saya juga perlu menjaga hati dan hubungan baik serta tidak mahu menyusahkan pihak lain.

“Apa-apa pun, saya tetap menyalahkan diri sendiri kerana itu semua bukan alasan untuk saya berterampilan begitu,” akuinya.

Kata Wany Hasrita , walau apapun alasan yang diberi, dia tidak patut berpakaian begitu kerana dosa tetap dosa dan bahagian yang perlu ditutup tetap kena tutup.

Sehubungan itu, Wany lebih senang menyalahkan dirinya kerana tidak tegas dengan pendirian dan penampilan.

Mengakui gayanya bukanlah seperti itu, dia berharap agar perkara sama tidak berulang dan akan lebih berhati-hati pada masa depan.

Ewah-Ewah tarik perhatian

SELEPAS popular dengan lagu Menahan Rindu dan Di Sana Cinta, Di Sini Rindu (duet dengan Tajul), nama Wany Hasrita sekali lagi menjadi bualan kerana single Ewah-Ewah ciptaan Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah dan lirik oleh Siso itu mendapat perhatian ramai.

Jelasnya, menyanyikan lagu irama Malaysia merupakan percubaan pertama dan tidak menyangka mendapat sambutan menggalakkan.

“Alhamdulillah, lagu Ewah-Ewah diterima ramai. Saya pasti ramai yang rindu nak dengar irama Malaysia yang merupakan buah tangan daripada Pak Ngah.

“Ini percubaan pertama saya dan masih banyak perkara yang perlu saya belajar serta perbaiki terutama tentang patah perkataan dan lenggok.

“Asalnya lagu itu ingin dimuatkan dalam album mini saya nanti dan tak rancang pun nak muat naik di YouTube. Semuanya bermula apabila saya muat naik penggambaran klip video lagu itu di Instagram dan ramai yang minta lagu tersebut membuatkan syarikat rakaman memuat naik di laman perkongsian video itu pada 4 Mac lalu.

“Ramai yang menyokong, terima kasih semua,” katanya yang mahu menguji diri mendendangkan pelbagai rentak lagu.

Meskipun perancangan berubah katanya, lagu Ewah-Ewah tetap akan dimuatkan dalam album mini yang turut menampilkan lagu duetnya dengan Tajul, Rindu Dalam Benci. Lagu duet itu juga telah dimuat naik di YouTube sejak 21 Mac lalu.

Jelas Wany Hasrita, jika perancangan berjalan lancar, album mininya akan dilancarkan pada tahun ini.

Seperti penyanyi lain, Wany Hasrita juga tidak terkecuali menerima tawaran berlakon drama dan telefilem. Namun semua itu tidak diterima kerana belum bersedia serta masalah masa yang tidak mengizinkan.

“Ada juga beberapa produksi drama yang tawar saya berlakon tapi saya takut untuk menerimanya kerana tak dapat memberi komitmen. Tak mahu kelam-kabut. Lainlah kalau saya pelakon profesional.

“Lebih senang buat masa sekarang saya tumpukan perhatian dengan nyanyian dulu. Lagipun sekarang ini saya sedang sertai program Fantastik 4 sejak 5 Mac lalu. Pertandingan bersama-sama Haqiem Rusli, Ara Johari dan Naim Daniel akan berlangsung selama lima minggu,” katanya.

Cuba berniaga pula

MENGGUNAKAN populariti sebagai penyanyi, Wany Hasrita bercadang untuk menghasilkan pakaian dengan jenama sendiri iaitu rindu by wany hasrita.

Kata Wany Hasrita, jenama itu akan menjual pakaian wanita untuk hari raya ini malah dia akan memberi idea rekaan kepada pereka sebelum pakaian tersebut dihasilkan dalam pelbagai warna.

Tambahnya, selain pakaian, dia juga mengeluarkan makanan tambahan iaitu jellyta by wany hasrita yang dihasil berasaskan delima, kurma dan madu.

“Sebenarnya makanan tambahan ini adalah kegemaran saya yang suka makan buah delima, kurma dan madu yang setiap satu daripadanya ada kelebihan tersendiri. Saya fikir macam mana nak ajak orang lain makan makanan sihat itu tanpa menyusahkan mereka.

“Kita tahu kadang-kadang ada yang malas nak kupas buah delima. Jadi saya hasilkannya dalam bentuk makanan tambahan. Produk makanan tambahan itu akan diperkenal selewat-lewatnya bulan depan.

“Saya juga bercadang untuk memperkenal koleksi baju raya pada 19 April depan,” katanya yang menangguhkan sementara hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana.