Walaupun kadar filem pecah panggung antarabangsa berjaya mencapai kutipan berbilion ringgit, namun jika dibandingkan dengan tahun lalu, ia semakin jatuh.

Menurut laporan Motion Picture Association of America, kadar kutipan domestik filem pecah panggung pada 2012 adalah sebanyak RM37 bilion.

Tahun 2013 pula menyaksikan kutipan itu naik menjadikan ia sebanyak RM38 bilion. Tetapi pertambahan itu sebenarnya adalah kerana nilai tiket wayang yang dinaikkan.

Namun, jumlah jualan tiket pada dua tahun ini menyusut sebanyak 1.5 peratus iaitu pada kiraan RM4.5 bilion pada 2013 berbanding RM4.7 bilion pada tahun sebelumnya.

Malah, jika dilihat daripada kutipan pecah panggung pada 2014, nyata, ia menunjukkan semakin ramai menolak untuk menonton wayang di panggung.

Apatah lagi sekarang ini sudah banyak kemudahan lain yang mempunyai ciri-ciri sama seperti berada di panggung membuatkan trend tontonan di panggung menurun.

Mungkin ada benarnya kata beberapa pemerhati filem yang menyifatkan tidak lama lagi, panggung akan ketandusan kehadiran penonton.

 

Filem pecah panggung 2014

Transformers:
Age OF Extinction 
RM3.7 bilion

Maleficient RM3.64 bilion

Guardians of the Galaxy 
RM2.69 bilion

X-Men
(Days of Future Past) 
RM2.6 bilion

Captain America 2
RM2.49 bilion

Amazing Spiderman 2 RM2.474 bilion

Dawn of Planet of Apes
RM2.471 bilion

How To Train Your Dragon 2
RM2.1 bilion

Interstellar
RM2 bilion

Hunger Games (Mockingjay - part 1)
1.9 bilion

X-Men : Days Of Future Past

Jumlah Bintang: 7.6/10

Filem ini adalah siri ketiga yang ditayangkan di panggung. Ternyata, kecemerlangan daripada dua siri filem sebelum ini diteruskan menerusi siri ketiga.

Walaupun ada beberapa kelonggaran dalam filem, namun ia tetap mendapat pujian yang baik daripada peminat filem.

“Pembukaan cerita yang menarik, membawa penonton untuk membawa diri jauh ke dalam plot cerita dan itu terjadi pada X-Men kali ini.”

Christopher Orr - The Atlantic.

Captain America 2

Jumlah Bintang: 7.6/10

Sebuah lagi filem sekual yang diadaptasi daripada komik dan kali ini, ia lebih baik daripada siri wayangnya sebelum ini.

“Ini adalah satu-satunya filem keluaran Marvel Studios yang benar-benar menonjol selain daripada filem Iron Man.”

Adam Nayman - The Globe And Mail.

Maleficient

Jumlah Bintang: 5.9/10

Berbeza sedikit daripada komik, filem ini nyata mengangkat watak jahat daripada animasi Sleeping Beauty.

Ternyata, ia sedikit berbeza kerana membawa sebuah mitos lama yang tidak pernah diceritakan.

“Maleficient adalah sebuah filem yang berjaya kerana watak jahat yang dimainkan oleh Angelina Jolie begitu berkesan. Itu yang menguatkan filem ini berbanding penceritaan atau persembahannya secara keseluruhan.” Anthony Lane - The New Yorker.

Guardian Of The Galaxy

Jumlah Bintang: 9/10

Ini adalah sebuah lagi filem yang bersandarkan kepada populariti yang pernah dikecapi melalui komik.

Majoriti bersetuju untuk menyimpulkan ini adalah filem yang baik terutamanya cara adaptasi yang menyerupai hampir 100 peratus daripada komik.

“Sebuah filem yang baik, adapatasi mengikut citarasa penonton. Berjaya membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan komiknya.” Kenneth Turan - Los Angeles Times.

Transformers 4
RM3.7 bilion

Jumlah Bintang: 3.9/10

Filem aksi robot ini antara yang mendapat kritikan hebat. Dengan hanya mempamerkan aksi robot ia memang berjaya memuaskan hati penonton, tetapi tidak kepada pengkritik.

Walaupun menduduki tempat teratas dalam senarai filem pecah panggung, kutipannya masih rendah jika dibanding dengan sekualnya yang terdahulu.

“Filem Transformers : Age Of Extinction nyata mendukacitakan penonton. Kekuatan filem ini hanya pada visual sahaja dengan letupan dan penggunaan lokasi yang cukup baik. Tetapi, jalan cerita tidak kuat dan akhirnya, ia hanyalah sebuah cerita yang memaparkan pergaduhan antara robot dan tidak boleh menjadi sebuah filem yang naratif.”

Ben Sachs - Chicago Reader.

Hampir separuh daripada filem pecah panggung 2014 menggunakan resipi yang sama iaitu menggunakan sekuel dan komik. Apa yang boleh dilihat melalui carta, kebanyakan filem yang mengungguli carta pecah panggung adalah filem fiksyen.

Asas daripada komik yang sudah mendapat sambutan membuatkan penonton ternanti-nanti untuk melihatnya di panggung. Ditambah pula filem itu adalah kesinambungan daripada sekuel sebelumnya yang berjaya menambat hati penonton.

Namun, untuk tahun ini, kebanyakan pengkritik filem memberi komen negatif terhadap beberapa buah filem berasaskan komik kerana dikatakan mengambil jalan mudah.

Jalan mudah itu bermaksud menggunakan sambutan baik berdasarkan filem terdahulu dengan harapan ia berterusan untuk filem terbaharu.

Itu yang ada filem aksi hanya sekadar mempamerkan aksi semata-mata tanpa mempedulikan plot jalan cerita yang longgar.

Sebab itu, filem yang baik, bukanlah sekadar filem yang berjaya meraih kutipan tertinggi pecah panggung.

Berikut adalah komen-komen pengkritik antarabangsa terhadap lima filem yang berjaya mendapat kutipan tertinggi pada 2014.