SITI SARAH mohon doa agar dia terus beristiqamah untuk kekal bertudung.

Siti Sarah yang baru melancarkan single Semakin, berkata, dia tidak mahu mengiyakan atau menafikan akan terus kekal dengan imej bertudung sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Tuhan.


“Saya tak mahu komen sangat berkaitan imej sekarang. Shuib (suami) tanya pun saya tak dapat beri jawapan. Buat masa sekarang, ya saya selesa tampil bertudung.


“Doakan saya untuk terus istiqamah. Memang ramai yang suka dengan imej begini. Tapi hanya Tuhan yang tahu,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.


Dalam pada itu, Siti Sarah juga mengakui dirinya terkesan dan tidak dapat melupakan pengalaman sewaktu menunaikan umrah bersama keluarganya awal Ramadan lalu.


“Saya lebih selesa untuk simpan pengalaman itu. Itu urusan peribadi saya bersama Tuhan. Memang banyak sangat pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya. - UTUSAN ONLINE