Cuma, apabila pernah ditipu sebelum ini, penyanyi Shiha Zikir akui kali ini dia perlu menunjukkan taringnya kepada semua dek kerana tegas dengan prinsip diri.

Didakwa mengamuk di sebuah acara hiburan kononnya berpunca daripada soal bayaran yang sedikit, Shiha dikatakan bengang dengan pihak penganjur acara itu yang disifatkannya tidak profesional.

Dijanjikan dengan kadar bayaran tertentu sebagai penyanyi jemputan, Shiha akui berlaku pertengkaran antaranya dengan pihak penganjur selepas merasakan dirinya tertipu.

“Memang baru-baru ini saya ada menerima jemputan untuk menjayakan sebuah acara di ibu kota.

“Kalau ikutkan, saya tak mahu ambil jemputan itu kerana bayaran yang ditawarkan tidak menepati harga kebiasaan saya. Tetapi kerana memikirkan penganjur adalah salah seorang kenalan, maka saya terima atas niat mahu membantu,”katanya.

Terdorong dek gerak hati yang merasakan seakan ada yang tidak kena dengan kelakuan pihak penganjur, kata Shiha dia mula merasa tidak senang apabila pihak tersebut ternyata mula ‘buat perangai’.

“Apabila diberitahu saja duit bayaran akan saya terima pada minggu depan, saya mula bengang. Terngiang-ngiang di kepala pengalaman kali pertama ditipu dahulu, macam inilah.

“Macam mana saya tak marah. Awal perjanjian lain, tiba-tiba pelbagai alasan pula diberikan sedangkan saya sudah hendak memulakan persembahan dah di pentas.

“Tetap saya beri muka juga untuk meneruskan persembahan namun setelah selesai, rupanya duit yang diberikan tidak mencukupi. Malah diberikan dalam bentuk kepingan wang kecil,”katanya hampa.

Bukan mahu bikin kecoh

Tahu banyak mata sedang memerhati, Shiha yang popular dengan lagu Jagakan Dia sedar orang yang tidak tahu menahu mengenai akar cerita pastinya menuding jari pada dirinya lalu menuduh dia sengaja mahu memperbesarkan isu.

Sedangkan kata penyanyi ini, orang tidak tahu bagaimana fobianya dia dengan pengalaman ditipu sebelum ini yang mana, sehingga kini pun dia masih belum menerima baki bayaran yang mencecah angka ribuan ringgit.

Tidak menolak bahawa dia tidak boleh bertoleransi dengan manusia yang suka menipu, apatah lagi dalam urusan melibatkan kerjayanya, Shiha terpaksa kental bertegas.

“Perkara paling saya pantang dalam hidup adalah orang yang suka menipu. Tak suka dan tak akan bertoleransi dalam bab ini. Jangan buat main-main.

“Bukanlah saya tidak cuma memahami situasi mana-mana penganjur, tidak menyalahkan semua, tetapi wujud seorang dua yang mahu artis menjayakan acara atau karnival tetapi liat mahu buat bayaran dan menipu,”katanya.

Tambah Shiha, dia juga tidak bersetuju dengan segelintir penganjur yang tidak semena-mena menyalahkan artis apabila acara yang diadakan tidak mendapat sambutan hangat daripada pengunjung.

Melahirkan pandangan berbisa dengan menyifatkan ini bukan zaman artis buat persembahan di ‘fun fair’, Shiha berharap mana-mana penganjur peka dengan isu ini dan tidak mengambil kesempatan.

Sisi lain Shiha

Berharap semua pihak lebih bertanggungjawab dengan kerja masing-masing, dia yang serius dengan kerjayanya enggan orang di luar sana memperlekeh kerjaya anak seni sepertinya.

“Kadang-kadang, orang macam inilah yang merosakkan industri itu sendiri.Kalau betul sama-sama nak cari makan, buatlah kerja dengan betul dan jujur.

“Saya bukannya tak boleh langsung berkompromi,sebelum ini pun saya pernah tolong penganjur, tetapi janganlah manisnya di mulut sahaja,”katanya.

Enggan lagi isu ini diperbesarkan, Shiha yang pada awalnya tidak tahu bagaimana cerita ini boleh sampai ke telinga pihak media mengaku dia kini lebih berhati-hati dalam menerima tawaran persembahan.

Bimbang pengalaman buruk kembali berulang, penyanyi ini nekad mahu terlalu mudah cair dengan pujukan walaupun atas alasan mahu menolong.

“Tidak cuma tegas dalam soal kerja, tetapi juga dalam kebanyakan perkara. Nampak macam saya ni happy go lucky kan?

“Hanya orang terdekat saja tahu bagaimana tegas Shiha. Kalau tak percaya, cuba tanya pembantu peribadi saya,”katanya menutup bicara.