Dilema
si ratu cantik

Senario industri seni tempatan yang tidak menghargai kejayaan sendiri membimbangkan
Dewi Liana

KUALA LUMPUR 22 DISEMBER 2014 : Fotografi Ratu Cantik Dunia Malaysia 3
Ratu Cantik Dunia Malaysia 2014 Dewi Liana

DULUNYA dia bukanlah siapa-siapa. Memori peminat seni tempatan terhadapnya diyakini telah luput sekalipun dia pernah menyertai program realiti Mentor musim pertama pada 2005 di bawah bimbingan penyanyi terkenal Liza Hanim.

Itu adalah kisah sedekad lalu dan dia semakin dilupai sementelah usianya ketika itu baru berumur 16 tahun serta masih di bangku sekolah menengah. Kelibatnya setelah tamat rancangan terus menghilang dek memberi tumpuan terhadap pelajaran.

Namun, kebelakangan ini, nama Dewi Liana Seriestha, 25, mula hangat diperkatakan. Bermula dengan penyertaannya menerusi World Championship of Performing Art (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat dengan membawa pulang kejayaan penuh makna apabila diumumkan sebagai pemenang lima pingat dan satu plak penghargaan.

Seterusnya tuah Dewi semakin menyebelahinya apabila diangkat sebagai Miss Malaysia 2014 pada September lalu dalam pertandingan ratu cantik berprestij di negara ini yang berlangsung di Hotel Chorus Kuala Lumpur.

Ia sekaligus melayakkan Dewi bergelar duta kecil Malaysia ke pertandingan Miss World 2014 (MW2014) yang diadakan di London, United Kingdom dua minggu lalu. Ironinya, gadis itu terus melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wakil negara pertama yang memenangi kategori Miss Talent World 2014 berbekalkan vokal padu miliknya.

Lebih manis, sama ada WCOPA mahupun MW2014, kedua-dua acara antarabangsa itu dipancarkan secara langsung ke kaca televisyen di puluhan negara. Secara tidak langsung, seluruh dunia telah mengenali gadis keturunan Bidayuh dengan ketinggian 179 sentimeter itu walaupun untuk seketika.

Berkunjung ke Studio Utusan pada Isnin lalu, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu nyata tidak kekok beraksi di hadapan lensa kamera. Mungkin ia sudah menjadi ‘makanannya’ untuk memberikan gaya paling menarik untuk tatapan pembaca Hits.

Usai tamat fotografi, Hits gunakan kesempatan untuk mendapatkan kisah menarik di sebalik pengalaman gadis tinggi lampai itu untuk dikongsi bersama peminatnya.

 

Mahu mencipta momen indah serta masa depan yang lebih cerah dalam bidang seni, Dewi dilihat bijak memulakan langkah awalnya bagi menguasai industri muzik tanah air.

Melihat kerjaya nyanyian artis seperti Yuna, Najwa Latif dan ramai lagi penyanyi wanita yang aktif menghasilkan lagu sendiri, Dewi juga tidak mahu ketinggalan bergelar komposer terhadap lagu-lagu dendangannya kelak.

Mengakui tidak pernah mengikuti sesi formal mengenai penciptaan lagu, Dewi memberitahu bahawa bakatnya dalam menghasilkan lagu lahir secara semula jadi.

“Ketika berasa sedih atau teruja, ketika melepak sendirian, saya akan bersenandung untuk mencipta melodi sendiri. Saya rekodkan dahulu menerusi alat perakam yang ada. Selalunya guna telefon pintar sahaja.

“Jika ada masa yang sesuai, saya akan dengar semula rakaman tersebut dan cari kord dengan bermain gitar. Itulah kaedah yang saya guna pakai. Saya amat meminati genre R&B, balada, soul, jaz dan klasik.

“Di arena muzik perdana, saya mahu ketengahkan bakat nyanyian dengan memilih balada serta diadunkan jalur muzik R&B. Biar memberi sedikit kelainan berbanding lambakan lagu yang ada kini,” jelasnya.

Meskipun menyedari kehendak muzik semasa yang lebih ke arah rentak pop, Dewi yakin cita rasa peminat tidak akan statik dan sentiasa berubah. Apa yang perlu dilakukannya adalah sentiasa sabar dan cekal.

Tegasnya, dia perlu kukuhkan pendirian untuk memperjuangkan muzik yang menjadi pilihannya supaya diterima ramai. Dewi berjanji untuk cuba lebih kreatif dalam menghasilkan lagu berkualiti.

“Kebanyakan penyanyi lebih terdorong untuk mengikut kehendak muzik semasa berbanding memperjuangkan genre yang mereka minati. Tetapi saya mahu melakukan sesuatu yang saya gemar dan minat kerana dengan cara itu, peminat lebih mengenali dirinya secara dekat. Itu adalah identiti saya,” tambahnya.

Menyelak semula kejayaan beberapa rakan artis sama ada penyanyi mahupun pelakon yang pernah diangkat di peringkat antarabangsa, Dewi akui tidak semuanya dalam kalangan mereka menempa nama dengan baik di negara sendiri.

Pada pandangan Dewi, penggiat seni tempatan kurang menghargai anak seni tanah air yang telah mencipta nama di persada global. Mereka sebaliknya lebih mengagungkan artis luar negara yang diberi peluang lebih baik di Malaysia.

Ibarat kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Mungkin itu adalah peribahasa paling tepat untuk menggambarkan senario yang berlaku dalam industri seni negara.

Menurut Dewi, mungkin terlalu awal untuk memperkatakan mengenai nasibnya dalam bidang seni buat masa ini. Katanya, dia perlukan masa untuk merangka strategi dengan baik dan efektif.

“Ya, saya tidak nafikan ramai artis yang menang anugerah di luar negara mengemis di negara sendiri. Sedangkan artis luar dipuja dan diberi platform terbaik. Ada sesetengah artis kita yang berbakat dan telah diiktiraf dilayan bak anak tiri.

“Itu adalah epidemik yang serius. Golongan berbakat ini dipinggirkan oleh orang kita sendiri, padahal orang luar lebih menghargai mereka. Saya pun tak tau di mana silapnya sampaikan boleh berlaku senario sebegini.

“Apapun, saya masih baru untuk berbicara lebih lanjut mengenai hal ini. Semua yang berlaku terhadap diri saya hari ini terlalu pantas sehinggakan belum sempat untuk betul-betul merangka perancangan yang lebih teratur,” ujar Dewi memberi penjelasan.

Tambahnya lagi, jika dia berhadapan situasi yang sama seperti mana yang disebutkan di atas, Dewi tekad untuk tidak berputus asa memperjuangkan keinginannya yang mendalam bergelar antara penyanyi terbaik negara.

Yakin akan bakat yang diwarisi daripada ayahnya, Yudhi Seriestha, seorang pemuzik yang berasal dari Jakarta, Indonesia mengalir pekat dalam darahnya, Dewi enggan mengalah.

“Setiap hari ketika kecil saya dibesarkan dengan melodi indah dan ia menyerap dalam jiwa seni saya. Ia akan dijadikan kekuatan dan sumber inspirasi untuk terus berkarya,” katanya menetapkan pendirian.

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati