Kalau ada yang mengikuti perkembangan cerita, kononnya timbul gosip mengenai Wany yang didakwa terpaksa menjalani penggambaran tersebut di lokasi lain sedangkan pada awalnya MV tersebut sudah pun dijalankan di Santorini, Greece dan London.

Pelik juga sebab dengar cerita, bukan kecil kos keseluruhan penghasilan MV tersebut, Iyalah, nama pun dijalankan di Eropah. Tentulah kosnya tinggi bukan?

Tup-tup, bila sudah keluar, seperti ramai yang menonton, MV tersebut sebaliknya dijalankan di Korea pula. Apa sudah jadi?

Kononnya, ada cakap-cakap belakang mengatakan Wany terpaksa mengenepikan hasil usaha MV di Eropah itu kerana berlaku insiden kurang menyenangkan antara dia, pihak pengurusan dan penaja di sana.

Paling mengejutkan, Wany didakwa berbuat begitu kerana tidak selesa dengan tindakan berani mati penaja utama, seorang usahawan yang dirahsiakan identitinya, melamar penyanyi ini ketika berada di sana. Betul ke tu?

Nak tahu sama ada ia benar atau cuma khabar angin, ikuti temu bual berikut.

KUALA LUMPUR 09 APRIL 2019 - Majils sidang media konsert trio

Terlalu Memuja baru sahaja dilancarkan, tetapi anehnya ia dilihat telah menjalani penggambaran di Korea. Sebelum ini pernah dimaklumkan penggambaran akan dilakukan di Greece dan London. Apa sudah jadi ya?

WANY: Saya sedar mengenai perkara itu. Beginilah, apa yang boleh dikatakan perkara dah pun berlaku saya anggap MV yang sepatutnya dilakukan di Santorini, Greece itu bukan rezeki saya. Walaupun ya saya akui memang sudah pergi dan sampai pun di sana.


Pancaindera juga mendapat perkhabaran bahawa timbul masalah antara Wany dan pihak pengurusan iaitu FMC Music termasuk penganjur utama ke Eropah itu, betul ke?

WANY: Eh tak adalah. Tak betul tu. Tak ada masalah pun antara saya dan pihak pengurusan.

Agak pelik juga apabila dalam kekalutan tak jadi menjalankan penggambaran di Eropah tu, kononnya Wany terpaksa menolak pembikinan MV (yang sudah pun dijalankan di sana) kerana berlakunya insiden di mana awak dikatakan bengang dengan penganjur utama kerana individu tersebut bertindak berani mengajak awak untuk berkahwin?

WANY: Terkejut juga saya mendengar khabar ini. Sebetulnya setakat ini belum ada yang cuba mengajak saya berkahwin. Tak ada istilah begitu pun. 


Kononnya cerita ini disampaikan oleh terdekat Wany juga. Dalam erti kata lain, berlaku ‘isu peribadi’ dalam hal ini. Iyalah, punya komited nak kerja di sana, tiba-tiba ada orang pasang hajat nak kahwin pula. Seolah-olah tujuan asal ke sana dah tersasar. Apa komen Wany?

WANY: Macam yang saya katakan, tidak timbul isu tentang lamaran berkahwin di sana. Apa yang boleh saya cakap, isunya di sana kerana tiada persetujuan hitam putih antara penganjur dan artis. Sepatutnya perlu ada. Saya mengaku di pihak saya, ada salahnya juga kerana lalai menitikberatkan perkara penting itu. Ia adalah satu pengajaran yang paling memberikan kesan buat saya. Kalau semua disediakan dengan lengkap, barulah senang berurusan dan bekerjasama tanpa ada sebarang agenda tersembunyi.


Dengar cerita Wany juga macam dah serik nak berharap pada mana-mana tajaan atau berurusan dengan pihak seperti itu selepas kejadian di Eropah tempoh hari. Macam mana tu?

WANY: Betul, boleh dikatakan agak fobia juga pada mulanya. Tetapi kita ambil pendekatan, setiap apa yang berlaku tentu ada sisi positifnya. Kita perbaiki semula semua yang kurang. Kalau dari segi penajaan pula, saya sedar selepas ini memang kena berhati-hati dalam setiap langkah apabila berurusan dengan mana-mana pihak. Paling penting, perlu ada hitam putihnya.

Bila tak jadi melancarkan MV berlatar belakangkan bumi Greece tu, ada juga yang kata MV di Korea tu tidak berapa cantik dan kemas. Kira macam ala kadar sahajalah sebab perancangan asal kan berbeza pada awalnya. Apa komen awak?

WANY: Pada saya, isu tempat di mana MV dijalankan cuma mempunyai peratusan yang kecil dalam penghasilan mana-mana MV yang terkesan di hati penonton. Apa yang paling penting, biarlah pengisian mampu meninggalkan kesan dan orang akan ingat. Ini termasuk jalan cerita yang baik dan kualiti video itu sendiri. Terus terang, saya adalah seorang yang ringkas dan bagi saya, less is more. Tak perlu pergi jauh-jauh pun mampu jadi cantik dan mengesankan betul tak?