Tentu sekali tindakan spontan dia mencium pipi suaminya yang juga merupakan penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT) saat pasukan tersebut memenangi Piala Malaysia minggu lalu menjadi bualan banyak pihak.

Ada yang gembira tak kurang juga yang menyifatkan tindakan Mia mencium pipi Mohd Izham Tarmizi Roslan keterlaluan. Kata mereka, adegan itu tidak sepatutnya berlaku di atas padang dan disaksikan oleh puluhan ribu peminat ketika itu.

Menganggap perkara tersebut adalah tindakan spontan yang akan dilakukan oleh mana-mana isteri sekalipun, Mia mempertahankan tindakan tersebut.

“Cium suami sendiri, bukan suami orang lain. Perkara tersebut merupakan tindakan biasa bila suami menang dalam mana-mana pertandingan bola sepak sebelum ini, bukan perkara baharu.

“Yang peliknya kenapa sekarang baru mereka nak marah? Saya tiada masalah pun dengan mereka yang mahu mengecam atau nak kutuk. Cuma pendapat saya tetap sama, mereka kena periksa hati masing-masing.

“Saya anggap biasa, orang pula anggap isu besar. Jadi biarkanlah sahaja mereka nak kata apa pun. Selagi saya tak melakukan perkara yang melampau batas, biarlah mereka nak cakap apa pun,” tambahnya lagi.

Pun begitu, Mia memberitahu dia mendapat reaksi positif di Instagram miliknya saat dia memuat naik semula video berkenaan daripada pihak ketiga.

Kecaman tersebut diketahui bermula daripada laman Facebook yang sememangnya menjadi medan segelintir pihak meluahkan rasa tidak puas hati, geram dan dendam.

“Tentang kecaman mencium suami tu, tak ramai pun yang mengata secara terus melalui Instagram. Mungkin mereka hentam saya melalui Facebook yang memuatkan cerita tersebut.

“Entahlah, saya malas sebenarnya nak melayan kecaman mereka. Semua yang selalu tak berpuas hati ini mesti terdiri daripada golongan makcik bawang!” katanya berseloroh.

Kecaman

DALAM satu hal, Mia juga sedar bergelar isteri kepada pemain bola sepak memberikan cabaran yang besar buat dirinya. Jika satu ketika dahulu dia sering dikecam kerana dunia hiburan, kini kecaman lain pula perlu dihadapi apabila melibatkan suaminya.

“Betul kata orang, jadi isteri kepada pemain bola sepak mencabar. Kalau dahulu orang kecam kerana tak puas hati dengan lakonan kita, gosip dan sebagainya, kini kecaman kepada suami pun saya perlu hadapi.

“Bila pasukan suami kalah, peminat bola sepak akan meninggalkan komen di Instagram saya. Pelbagai kata-kata yang mereka tinggalkan. Sama juga kalau dia melakukan kesilapan, saya pula yang kena.

"Bila sudah berkahwin, saya kena hadap semuanya. Jangan main-main dengan peminat bola sepak ya, mereka ni lain macam,” katanya lagi.

Mengakui yang dia perlu bersedia dan menerima apa sahaja situasi yang tidak terjangka, Izham banyak memberikan nasihat agar dia tidak melayan apa yang diperkatakan oleh mereka.

Tentu sahaja sebagai peminat mereka juga mempunyai pandangan tersendiri mengenai bola sepak, namun mereka juga perlu berbahasa dengan baik agar perhubungan dua hala sentiasa harmoni.

“Bila dah kurangkan dalam bidang hiburan, rupa-rupanya sukan bola sepak pun lebih kurang sama. Tak apalah, saya okey sahaja asalkan tidak melampaui batas,” katanya yang baru sahaja menghabiskan penggambaran drama Sara Kirana.

Ditanya adakah dia pernah meminta nasihat daripada beberapa artis lain yang berstatus isteri pemain bola sepak, Mia belum berbuat begitu kerana menganggap ia tidak perlu kerana masih boleh menghadapinya bersama suami.

Perlu izin

MENJADI isteri kepada pemain bola sepak yang berpangkalan di Johor Bahru memberikan cabaran yang tak kurang hebat buat dirinya. Tentu sahaja soal membahagikan masa antara rumah tangga dan kerjaya merupakan hal terbesar yang perlu dilalui oleh mereka suami isteri.

“Buat masa sekarang saya menetap di Johor Bahru. Kalau ada tawaran lakonan barulah saya ke Kuala Lumpur dan meneruskan kerja seperti biasa. Tak ada masalah pun untuk meninggalkan suami sekejap. Dia pun faham dengan tugas saya sebagai pelakon.

“Izham hanya mengizinkan saya berlakon macam biasa asalkan tidak lebih sebulan secara terus. Kalau ada tawaran yang kurang sebulan pasti saya terima. Apa-apa pun rumah tangga tetap menjadi keutamaan saya,” katanya yang bernikah pada bulan Januari tahun ini.

Dalam pada itu, Mia mendedahkan yang Izham tidak membenarkan dia untuk mengambil tawaran berlakon yang kerap seperti zaman solo. Memahami keadaan itu, dia biasanya akan berehat beberapa minggu dahulu sebelum menerima tawaran berikutnya.

Mula serasi dengan apa yang sedang dilakukan, dia gembira sekiranya suaminya juga mampu memberikan persembahan yang baik di padang.

“Saya tak mahu membebankan dia dengan hal-hal remeh. Asalkan dia mampu memberikan tumpuan dan fokus kepada setiap perlawanan, saya gembira,” tambahnya lagi.

Diusik dengan pertanyaan adakah dia takut suaminya digoda wanita lain saat ketiadaannya, Mia menganggap kepercayaan merupakan tunjang utama dalam sesebuah perhubungan.

Meletakkan seratus peratus kepercayaan, dia yakin suaminya tidak sebegitu meskipun tahu ramai yang memperkatakan hal tersebut sebaik sahaja mereka bernikah dahulu.

“Bila sebut pemain bola sahaja orang akan mula membuat andaian begitu. Kalau nak menggatal ataupun curang bukan hanya melibatkan pemain bola, orang biasa pun ada begitu. Semua orang ada potensi begitu dan bukan hanya pemain bola semata-mata,” tambahnya lagi.

Letak harapan

BAKAL muncul dengan filem Jibam pada 7 Disember hadapan, Mia mengharapkan naskhah itu bakal diterima ramai. Naskhah yang diadaptasi menerusi novel Jibam karya kartunis Ujang itu memberikan pengalaman baharu buat dirinya.

Hampir sebulan menjalani penggambaran di Sungai Lembing, Pahang, Mia tidak dapat melupakan saat dia diheret oleh Syafie Naswip menerusi satu babak penting.

“Babak tersebut memer­lukan Syafie untuk mengheret saya dengan kasar. Walaupun pada peringkat awal dia agak risau sekira­nya saya terce­dera, saya okey sahaja memandangkan itu memang kehendak skrip.

"Walaupun pada awalnya dia gementar, kami berjaya melakonkan babak berkenaan dengan baik. Cedera sikit-sikit tu perkara biasalah kalau nak jadi pelakon, tak ada masalah besar pun," katanya.

Selain Mia, filem Jibam turut dilakonkan oleh Mohd Ariff Abdullah, Bohari Ibrahim, Esma Daniel, Fadlan Hadzim, Kamarool Yusof dan ramai lagi.

Jibam mengisahkan tentang seorang kanak-kanak istimewa bernama Ashraf. Digelar Jibam, dia sedikit lembab akal fikirannya namun mempunyai keistimewaan yang tersembunyi. Dia mewarisi kepandaian bapanya, Suman untuk mengubati penyakit. Suman mati terbunuh dalam hutan dan kematiannya sungguh misteri.

Pada masa sama, Jibam juga dibenci Usin Singai dan kemuncaknya apabila basikal tuanya dicat warna biru oleh Jibam dan ayam dalam rebannya pun biru dikerjakan Jibam.