Hal tersebut bukan sahaja kecoh dalam media sosial tetapi dalam masa sama timbul persoalan adakah benar penyanyi itu mempunyai musuh sehingga diperlakukan sebegitu?

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Via menganggap perkara tersebut tidak benar dan apa yang dihebohkan oleh netizen adalah kurang tepat sama sekali.

“Insiden itu tidak benar. Ada yang suka memutar belit berita menjadi sebegitu sekali. Hairan juga, padahal yang berlaku tidak seperti yang dihebohkan,” katanya.

Bercerita mengenai apa yang berlaku, Via berkata, ada dalam kalangan peminat yang memintanya untuk merakamkan foto. Dek kerana jarak yang jauh, agak sukar untuknya mendapatkan telefon berkenaan.

“Saya cuma mahu merealisasikan impian mereka mahu bergambar. Saya minta orang di hadapan itu mengambil telefon peminat tersebut tapi sampai ke sudah tidak dilakukan.

“Mungkin kerana marah tidak diambil-ambil, dia terus melemparkan telefon tersebut. Niatnya mahu saya menangkap gambar juga,” ceritanya lagi.

Nasihat

“Terkejut, tiba-tiba sahaja ada telefon yang jatuh berhampiran dengan kaki. Mujur tak kena kepala,” kata Via bercerita.

Sempat menasihati peminat tersebut, kata Via tindakan itu salah dan jangan sesekali ulanginya.

Terkejut dengan insiden tersebut, Via sempat memberikan teguran kepada peminatnya itu agar tidak melakukan perkara tersebut lagi.

Walaupun sedar tindakan peminat itu bukanlah disengajakan, tetapi ia tidak sepatutnya berlaku waima apa sebab sekali pun.

“Saya sempat beritahu peminat itu jangan melakukan lagi perkara berkenaan. Dia hanya tertunduk malu sahaja. Kalau dilempar lagi, saya akan ambil telefon tersebut terus,” katanya tertawa.

Bagi Via, perkara sebegitu bukanlah hal yang asing memandangkan dia sudah pernah melaluinya sebelum ini. Hal itu kerap terjadi apabila bertemu dengan mereka yang benar-benar mahu mengabadikan kenangan bersama.

“Setiap kali mengadakan persembahan, saya akan memegang telefon mereka dan bergambar. Cuma kalau jarak yang terlalu jauh ia agak sukar.

“Biasanya saya akan minta orang yang berada di sekeliling mengambil telefon peminat. Takut juga kalau ada yang agresif dan melemparkan terus telefon mereka.

“Lagi satu saya tak mahu telefon mereka rosak bila terjatuh. Nanti Via Vallen juga yang dipersalahkan,” tambahnya.