Diana Danielle

Aktres jelita ini pernah membuktikan kemampuan vokalnya menerusi beberapa lagu seperti Di Mana Engkau Sayang yang menjadi lagu tema filem Hantu Gangster dan Pujaan Hatiku, lagu tema filem Kami Histeria.

Cubaan anak kelahiran Houston, Texas, Amerika Syarikat ini tidak terhenti di situ sahaja. Dia terus mengorak langkah dan perkembangan terkini menyaksikan Diana tampil dengan single berjudul Tentang Kita.

Walaupun single itu diterbitkan pada tahun lalu, namun Diana tidak berhenti mempromosi­kannya. Sejak tiga bulan lalu, klip video Tentang Kita mulai menemui peminat.

Berkesempa­tan bertemu dengan pelakon berdarah kacukan ini pada Majlis Pengijazahan Toyota Gazoo Racing di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini, satu persatu soalan mengenai penglibatannya dalam nyanyian dilontarkan penulis.

Diana memberitahu, dia bersyukur kerana diberi peluang menyanyi. Katanya, dia amat bertuah kerana berada dalam lapangan yang memberi kebebasan untuk dirinya mengembangkan kebolehan, tidak kira dalam bidang nyanyian mahupun lakonan.

“Selain aktif berlakon, saya akan mengembangkan bakat sebagai penyanyi. Saya ingin tarik kepercayaan peminat dan membuktikan saya juga mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.

“Itu antara ‘keindahan’ berada dalam industri hiburan. Saya bebas mengatur apa yang saya ingin lakukan berdasarkan minat dan keinginan untuk bergelar pelakon dan penyanyi.

“Saya bersyukur kerana tidak terikat dengan mana-mana syarikat pengurusan. Saya tidak mahu ada sekatan dan syarat dalam menetapkan hala tuju saya dalam bidang hiburan,” katanya kepada S2.

Menyentuh mengenai single Tentang Kita, Diana memberitahu, dia sentiasa ingin melakukan kelainan. Katanya, dia mahu menyanyikan sebuah lagu yang mesra pendengar dan menjadi pilihan untuk diputarkan di corong radio.

“Tentang Kita adalah lagu berkonsepkan riadah dan sesuai dengan jiwa orang muda yang menjadi kelompok sasaran lagu ini. Ia merupakan satu percubaan untuk saya terus mara dalam menguasai seni suara. Insya-Allah, banyak lagi perkara baru melibatkan bidang ini bakal menyusul,” jelasnya.