Menerusi laman sosial Instagram peribadinya, Dian berkata, kejadian yang tidak disengajakan itu berlaku apabila seorang peminat memegang badannya dan kerana terkejut, dia terus menepis tangan peminatnya itu.

Jelasnya, insiden itu bukan bermaksud dia sombong atau berlaku tidak sopan terhadap peminatnya namun, tindakan menepis tangan itu berlaku secara spontan dan pantas.

“Sejujurnya itu hal yang tak disengaja. Ada seseorang dari belakang tiba-tiba memegang badan saya dan kerana terkejut serta refleks, saya menepis dan menghindar. 

“Saya tidak bermaksud tidak ramah atau tidak sopan. Saya kemudiannya memadam video itu agar tidak menimbulkan kesan yang tidak sesuai dengan kejadian sebenar yang berlaku.

“Saya memahami setiap komen dan tahu kita tidak boleh mengawal pemikiran serta persepsi orang yang melihat video itu di laman sosial. Apa yang boleh kita buat adalah bagaimana memberi respon pada waktu yang tepat dan dengan cara yang baik,” katanya.

Dian memberi maklum balas terhadap kecaman yang diterimanya apabila dia memuat naik video tersebut di Instastorynya baru-baru ini.

Rata-rata netizen berpendapat pelakon itu sombong dan berlagak diva terhadap peminat-peminatnya.

Dalam pada itu, Dian juga mengakui peminat merupakan tulang belakang yang menjadi elemen penting dalam kariernya.

Bahkan, Dian tidak menolak kenyataan tanpa peminat, dia dan industri filem tidak akan bermakna.

Namun pelakon Kartini ini menjelaskan, biarpun dia merupakan aktres popular namun dia juga sama seperti wanita-wanita lain yang memberi sepenuh perhatian ketika bekerja dan begitu juga saat bersama keluarga.

“Dian Sastro adalah sama seperti perempuan-perempuan lain. Saya berusaha membahagi waktu antara bekerja dan menjalani kehidupan peribadi sebagai isteri dan ibu anak-anak saya. 

“Saat bekerja, saya mencuba sedaya upaya sebagai selebriti termasuk melayani permintaan foto. Saat menjalani kehidupan peribadi, terutama saat bersama anak dan suami, saya pun mencuba mencurahkan perhatian sepenuhnya untuk mereka.

“Saya juga perlu melihat situasi, kalau ketika itu sedang santai, saya akan melayani permintaan foto. Terkadang bila ada peminat yang terlalu bersemangat, sehingga lupa membezakan saya sedang bekerja atau sedang mengasuh anak-anak, maaf bila terpaksa saya tolak dengan sopan,” katanya. - UTUSAN ONLINE