Putus dengan pelakon Azwan Kombos setelah menyulam cinta kira-kira tiga tahun, begitu juga dengan cinta ekspres bersama pengacara Hefny Saad, memang bukan mudah.

“Saya sebenarnya tidak mahu orang ramai mengetahui soal peribadi. Kalau boleh saya nak peminat hargai bakat saya berbanding kisah yang tidak penting itu.

“Saya melibatkan diri dalam industri ini untuk bekerja, malah saya sentiasa cuba buat yang terbaik untuk memuaskan diri.

“Kalau terlampau banyak cerita peribadi diberitahu kepada umum, lebih baik saya buang bakat yang dimiliki ini di tandas,” kata wanita berusia 25 tahun itu.

Mahu mengutamakan bidang lakonan berbanding mengejar glamor, Nad mahu melupakan kisah-kisah tersebut. Dia juga lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri daripada mengulas mengenai hubungan cintanya.

“Tidak perlulah untuk saya memanjangkan kisah itu. Bosan. Kalau asyik bercerita nanti, apa pula kata orang. Setakat ini, tiada apa yang menarik untuk dikongsi.

“Kalau ada berita gembira, sudah pasti saya tidak kedekut untuk bercerita. Sekarang kita cerita tentang lakonan saya ya,” pintanya lembut.

Tegas dengan pendiriannya, Nad memberitahu, kehidupannya kini masih lagi sama seperti biasa dan mahu memastikan keseimbangan emosi antara soal kerja serta hal-hal lain yang menempel seperti kontroversi dijaga rapi.

“Tiada apa-apa. Nanti ingat sangat, saya tertekan pula. Ada masalah lain yang perlu saya fikir.

“Saya mahu buka buku baharu dan memberi sepenuh fokus terhadap kerjaya lakonan sahaja.

“Publisiti tentang cinta bukan kegunaan saya untuk masuk dalam dunia lakonan. Bukan mahu menafikan kepentingan publisiti, kerana publisiti juga telah memperkenalkan saya kepada umum.

“Tetapi saya perlu ingat, publisiti itu tidak perlulah terarah kepada usaha nak menjatuhkan kerana saya sendiri tidak suka.

“Berulang kali saya tegaskan sebelum ini, biarlah publisiti yang saya terima itu melibatkan kerja saya, bukannya cuma kontroversi yang bukan-bukan,” jawabnya lembut tetapi sedikit tegas.

Cabar diri untuk diari wanita

Mengaku dirinya semakin matang selama bergelar anak seni, Nad telah mula menyusun strategi untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri dan di mata masyarakat.

Contohnya, dia mencabar diri dengan memilih untuk membawa watak setiausaha dalam pementasan teater Diari Wanita…Episod Kak Ani & Nyonya.

“Saya pernah berlakon teater. Tetapi watak setiausaha ini agak mencabar buat saya. Saya semakin gementar dan berdebar.

“Apa lagi saya perlu bermonolog. Ini memang cabaran buat saya. Apabila bermonolog, kita perlu berjaga-jaga kerana hilangnya sahaja fokus, penonton pasti bosan.

“Pada mulanya diberi tanggungjawab ini, saya memang rasa bimbang kerana saya perlu mengendalikan dua watak pada satu masa,” katanya.

Latihan yang berpanjangan membuatkan Nad mampu mengendalikan wataknya setakat ini dan berjanji akan menjaga momentum diri.

“Untuk teater ini, saya tidak mahu melakukannya dengan berlebih-lebihan. Saya perlukan rujukan tapi bersyukur kerana pengarah, Rosminah Tahir sangat banyak membantu.

“Saya suka dan kagum kepada kak Rosminah kerana dia terkenal dengan teater bercorak feminisme. Dalam karya ini, dia berjaya menggarap idea yang baik dalam selingan unsur jenaka dan serius,” jelasnya anak tunggal itu.

Teater Diari Wanita yang turut menampilkan pelakon lain seperti Dayang Kartini Awang Bujang, Misha Omar, Amy Mastura, Sherry Alhadad, Juhara Ayob, Dina Nadzir, Shahrul Mizad dan Zera Hariz ini adalah terbitan CTRA Productions dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Lebih baik sendiri

Suka menyibukkan diri dengan kerja, Nad juga memberitahu, dia selesa dengan kehidupan sendirinya tanpa ada teman lelaki.

“Macam ini (solo) lagi bagus. Tak perlu nak fikir apa-apa sangat. Keadaan dan situasi seperti ini benar-benar membahagiakan diri saya. Malah saya lebih tenang tanpa diasak dengan pelbagai pertanyaan.

“Bagi saya, asalkan rezeki tidak putus dan selagi masih ada kudrat untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon, soal kontroversi mahupun tanggapan negatif orang kepada saya tidak mahu terlalu difikirkan.

“Kerja saya juga sudah banyak. Saya akan sibuk jalani penggambaran sehingga Jun ini. Selepas itu, saya akan berehat. Dah dekat nak puasa,” selorohnya.

Nad kini juga sedang sibuk jalani penggambaran drama 13 episod untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjudul Gaun Merah bergandingan dengan Syafiq Kyle.

Selain itu, Nad juga akan terlibat dengan pementasan teater Diari Wanita…Episod Kak Ani & Nyonya yang akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula hari ini, 8.30 malam hingga 16 Februari.

Habis dengan teater, Nad juga akan melakonkan watak pelacur dalam telemovie arahan Michael Ang yang akan menggandingkannya dengan Sharifah Shahirah dan Puteri Balqis.

Tawaran demi tawaran yang diterima memang membuatkan Nad perlu berhati-hati menyusun jadual sehingga mengambil keputusan untuk mengupah seorang pengurus peribadi.

“Kalau sebelum ini, saya sendiri yang uruskan tetapi kini ada pengurus, maka semuanya akan jadi lebih lancar. Saya sudah ada pengurus sejak tiga bulan lalu.

“Bila ada pengurus, lebih senang untuk saya fokus kepada kerja. Setiap tawaran yang ada, dia (pengurus) akan jadi pengantara,” katanya yang kini sedang berlakon dalam drama Antidot dan Destinasi G4.

Tambah Nad, apabila mahu kekal di dalam industri, dia perlukan banyak produk dan akan pastikan setiap kali muncul dengan drama baharu, ia akan memberi kesan kepada penonton.