Dihentam dan dituduh perampas suami orang adalah episod hitam yang tidak mungkin dilupakan.

Biarpun masih terpahat pada kotak fikiran namun dia akui kini bahagia dengan kehidupannya biarpun menumpang kasih bergelar isteri kedua kepada Datuk Red sejak tiga tahun lalu.

Bukan tidak cuba untuk melupakan kontroversi tersebut tetapi apa sahaja yang dilakukan pasti akan menjadi bahan kutukan netizen yang kurang senang dengan caranya.

Tidak hanya terhenti di situ, misi untuk ‘bersih’ daripada gosip hangat pada tahun ini bagaikan tidak berhasil apabila nama bekas bintang Akademi Fantasia musim kelapan itu kembali panas selepas menjadi penghias muka hadapan majalah URTV (terbitan Kumpulan Utusan) dengan pelakon sensasi Izreen Azminda bagi keluaran Februari.

Semuanya gara-gara status mereka yang bergelar isteri kedua sehingga mencetus perbalahan antara netizen di alam maya.

Memuji prinsip teguh Adira yang lebih selesa untuk berdiam diri dan tidak mahu mencurah minyak ke dalam api, penyanyi ini lebih senang melakukan halnya sendiri.

“Saya sudah lali dengan kecaman dan kontroversi malah tidak suka melayan komen-komen negatif seperti itu.

“Saya lebih senang ambil langkah mendiamkan diri saja.Kalau semakin dilayan, kita pula yang semakin sakit hati.

“Jadi adalah lebih baik supaya tak dilayan perkara-perkara seperti itu. Lama-kelamaan mereka akan diam sendiri.

“Sebab saya sedar orang kita sangat sensitif tentang isu-isu berkaitan poligami,” terangnya.

Malah Adira atau Siti Adira Suhaimi berkata, dia juga tiada masalah dengan tajuk pilihan seperti yang terpampang di muka hadapan majalah tersebut.

Ujarnya, dia sedar pilihan tajuk-tajuk yang menarik perhatian seperti itu adalah salah satu cara untuk melariskan penjualan majalah dan bukannya memberi stigma negatif seperti yang didakwa netizen sehingga ada yang mahu memboikot majalah tersebut.

“Secara jujurnya saya okay saja dengan pilihan tajuk itu. Saya tiada masalah dengannya. Netizen sepatutnya memahami situasi.

“Bukannya kami sengaja suka-suka untuk dikecam. Saya jenis yang tidak akan ‘meroyan’ di media sosial dan melepaskan kemarahan kepada netizen.

“Saya lebih suka senyapkan diri walau banyak kata nista dilemparkan. Selagi tidak membabitkan keluarga, saya okay sahaja,” tuturnya.

Melihat perkara yang berlaku, Adira juga yakin, Izreen yang bergandingan dengannya untuk muka hadapan majalah itu juga mampu bertahan dan tabah dalam mendepani kata-kata nista netizen yang tidak berkesudahan.

“Pernah kami berjumpa tapi tidak pula berbincang fasal itu namun saya yakin Izreen seorang wanita yang kuat. Kasihan juga melihat dia teruk dihentam oeh netizen.

“Saya pernah berada dalam situasi dan terpalit isu sama jadi saya faham perasaan dia.

“Mulut yang mengecam memang tak akan berhenti. Tak mengapa, asalkan kita tak kacau orang sudah cukup bagus,” tegasnya.

Adira cuba Sembunyi

DALAM kesibukan membesarkan anak perempuannya, Anggrek yang kini menginjak usia 11 bulan, wanita asal Ranau, Sabah itu sempat ‘mencuri’ masa untuk merangka buah tangan baharu buat peminat kesayangan.

Muncul dengan single berjudul Sembunyi hasil ciptaan Alyph Sleeq, kali ini Adira tampil berbeza berbanding himpunan lagu-lagu yang pernah diperdengar sejak aktif lapan tahun lalu.

“Kita cuba mencari sebuah karya yang mengikut trend pasaran muzik maka terhasillah Sembunyi.

“Masih lagi dengan genre balada, namun ada suntikan rentak R&B sedikit bagi menyesuaikan trend sekarang.

“Saya beruntung bernaung bawah syarikat pengurusan Rocketfuel Entertaiment Sdn.Bhd. kerana mereka sangat menyokong karier artis naungannya.

“Saya tak nak sia-siakan harapan itu dan tekad untuk sentiasa ada lagu baharu agar masih kekal relevan untuk tahun-tahun akan datang,” ungkapnya.

Meskipun pada awalnya dia berdepan dengan kekangan untuk merakamkan lagu tersebut, namun bantuan Alyph selaku komposer muda menjadikan proses tersebut bertukar mudah.

“Setiap kali saya mahu merakam lagu baharu di studio pasti akan berdepan dengan cabaran dan rasanya sesetengah penyanyi pun akan lalui hal sama. Alhamdulillah, Alyph seorang yang senang bekerja dengannya. Walaupun baru pertama kali bekerjasama tetapi masing-masing amat menekankan sikap profesional,” katanya.