Begitulah juga dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39, yang mengaku tidak mudah untuk menjalani kehidupan sebagai anak seni.

Kata Siti, selain keluarga, pihak media dan para peminat setia, mempunyai pasukan kerja yang terbaik dan profesional dalam menguruskan apa sahaja projek adalah ‘tulang belakang’ kelangsungannya sebagai penyanyi.

Tanpa tim yang kuat dan tidak pernah jemu membantu, memberi idea terbaik dan setia menjalankan tanggung jawab semaksimum mungkin, sukar baginya untuk kekal berlama di puncak tertinggi ketika ini.

Justeru, beliau bersyukur kerana diberikan tim yang terbaik sepanjang mengadakan lebih 50 konsert dalam usia seninya yang memasuki 23 tahun.

Terbaharu, Siti akan ke empat destinasi cinta pilihannya bagi mengubat rindu peminat melalui konsert Jelajah Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour tahun hadapan.

Bersama Shiraz Project merealisasikan impiannya, beliau akan mengadakan persembahan di empat lokasi iaitu Istora Senayan, Jakarta (21 Februari), Singapura Expo (2 Mac) dan Axiata Arena, Kuala Lumpur (16 Mac).

“Alhamdulillah, ini saat yang saya nantikan selama ini. Kemunculan saya dalam konsert jelajah ini adalah satu come back setelah tiga tahun tidak mengadakan konsert besar.

“Iyalah, sebelum ini saya fokus untuk hamil dan selepas bersalin saya lebih memberi perhatian kapada anak, Siti Aafiyah. Sudah menjadi rezeki saya apabila peluang mengadakan konsert jelajah ini datang pada saat saya benar-benar bersedia. Semuanya sudah tertulis.

“Terima kasih kepada penganjur Shirazdeen Karim daripada Shiraz Project yang memberikan kepercayaan ini. Sebenarnya memang ada juga penganjur lain yang mahu bekerjasama dengan saya untuk mengadakan konsert, tetapi kali ini `jodoh’ saya dengan mereka,” katanya.

Selama setahun menangguhkan kerjaya seni untuk memberi fokus kepada Siti Aafiyah, Siti sedar kembalinya kali ini perlu beriring dengan persiapan yang sempurna dan kerja keras.

Malah, persediaan untuk 2019 seakan sama dengan detik pertama ketika beliau menjayakan konsert sulungnya 22 tahun lalu.

“Sejujurnya banyak perkara yang saya ‘wajib’ buat untuk memastikan kejayaan konsert ini dan para peminat rasa berbaloi dengan persembahan itu nanti.

“Mana-mana penyanyi pun akan ‘berkarat’ vokalnya kalau lama tidak menyanyi. Jadi, sekarang saya sedang menggilap semula vokal setelah cuti hamil dan berpantang.

“Apa yang saya lakukan adalah perkara yang sama sebelum konsert pertama 22 tahun lalu.

“Cuma kali ini lebih istimewa apabila saya mempunyai guru vokal dari New York yang disediakan oleh pihak penganjur. Ini satu pengalaman yang baharu yang sudah lama saya mahukan. Selama ini saya tidak pernah belajar vokal melainkan sewaktu merakamkan lagu dalam studio sahaja,” jelas Siti sewaktu sidang akhbar Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di Kuala Lumpur baru-baru ini.