Jelas Cakra,  keterbukaannya bercakap mengenai tekanan yang dihadapi bukan sahaja sebagai salah satu langkah penyembuhan tetapi juga dalam masa yang sama ingin membantu mereka yang mengalami nasib yang sama seperti dirinya.

“Saya mungkin satu-satunya selebriti di Indonesia yang mengakui mengalami depresi. 

"Bagi saya ini adalah salah satu cara untuk memberitahu mereka di luar sana yang tidak mengapa untuk mendapatkan bantuan jika mengalaminya seperti saya. 

“Tidak pernah terlintas pendedahan ini sebagai gimik dan salah satu cara untuk meraih populariti. 

'Saya bukan orang yang memerlukan gimik untuk terus berkarya,” katanya ketika ditemui pada  Minggu Setiausaha AG di sini hari ini. 

Sementara itu Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman,27,  yang semakin pulih dari masalah depresi memberitahu ibunya, Entik Trisuyatmi, adalah insan penting dalam proses  penyembuhannya itu. 


“Ibu adalah insan yang banyak membantu saya kembali bersemangat untuk meneruskan hidup.  

“Selepas mengalami depresi sejak setahun lalu saya diminta doktor untuk lebih terbuka bercakap soal penyakit selain banyak berkongsi mengenai apa yang saya lalui dengan seseorang.

“Jadi setiap hari saya akan menelefon ibu di kampung. Malah saya sudah merancang untuk membawa ibu tinggal bersama apabila dia sudah bersara dari jawatan guru dua tahun lagi,” katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu  Harus Terpisah ini juga  turut memberitahu kesan tekanan yang dialaminya juga disebabkan kekecewaan dalam cinta dan masalah keluarga. 

Malah kerana  sering membawakan lagu-lagu putus cinta, ditinggalkan atau dicurangi juga sangat mempengaruhi dirinya sehingga pernah terfikir untuk membunuh diri. - UTUSAN ONLINE